Ahad, 25 September 2016

Ulasan Buku: Imagikata


Salam. Apa khabar semua pembaca? Harap sihat dan masih punya kesempatan untuk membaca.

Buku kali ini yang akan diulas ialah antologi cerpen Imagikata terbitan Penerbit X. Bagi yang tak tahu imagikata tu adalah gabungan perkataan imaginasi dan kata. Aku tak ingat di mana aku baca benda ni, tapi lebih kurang gitulah ideanya.

Ditangkap gambar di beranda rumah baru.


Daerah Sebalik Tembok – Arif Zulkifli 2.3/5 Bintang

Ok sebenarnya aku dapat maksud yang cerpen ni cuba sampaikan tapi aku rasa semacam tak kena sebab aku rasa cerita ni macam tergantung dan dah cukup had perkataan. Cerita ni kalau panjang lagi mungkin akan jadi lebih sedap macam cerita Batman v Superman: Dawn Of Justice versi keluar dekat wayang tak sedap sangat tapi versi Extended Ultimate Edition lagi ok. Then, cerita ni sememangnya satu pilihan tak kena bila dipilih untuk jadi pembuka buku antologi cerpen ni yang bertajuk Imagikata yang merupakan gabungan perkataan imaginasi dan kata tapi cerita pertama dalam buku ni hanya cerita pasal hero yang panjat pokok besar? Aku expect more kot bila dengar perkataan imaginasi jadi tajuk buku ni.


Kampung Surotai – Bahruddin Bekri  4/5 Bintang

Intro cerpen ni bermula dengan tenang dan smooth. Gaya bahasanya mudah tapi sedap. Cerita dan maksud yang disampaikan juga kedengaran logik dan sesuatu yang boleh berlaku. Idea cerita ni berjaya disampaikan dengan betul. Dan juga pembinaan suspen dalam cerita ni memang menjadi. Mula-mula aku meneka orang jahat dalam cerita ni mungkin alien tapi plot cerita ni lebih mudah daripada tu namun tetap menarik. Ending cerita ni sedap dan menyamankan.


Saka – Khairul Nizam Khairani 4.3/5 Bintang

Cerpen ni menarik. Bagaimana penulis menyampaikan ceritanya dengan bahasa mudah dan dialog yang ringkas tapi berkesan. Kekuatan cerpen ni aku rasa pada ideanya yang solid. Penulis bercerita tentang watak utama cerita ni yang mewarisi saka dan bagaimana ianya telah mempengaruhi kehidupan watak utama. Ending cerita ni sedih dan menginsafkan.


Siapa Manusia, Siapa Binatang? – Nor Azida Ishak 2.7/5 Bintang

Masa tengah baca separuh cerpen ni aku tertanya-tanya macam mana cerpen ni boleh ada dalam buku ni juga sebab plotnya rasa macam biasa saja. Tapi part ending cerpen ni yang membuatkan aku rasa macam ehh(?) sikit. Part ending yang men‘saifai’kan cerita ni aku rasa macam tak kuat sangat perkaitannya atau macam tak masuk untuk kuatkan plot cerita. Kalau tak ada part akhir ni, aku rasa cerita ni dah ok dah, dan boleh berdiri sendiri dibawah genre realisme. Aku dah okay dah dengan jalan cerita cerpen ni yang mengisahkan seorang budak sekolah perempuan yang diganggu seorang lelaki kutu jalan yang miang yang cuba nak ambil kesempatan. Penulis berjaya merakamkan rasa takut dan benci dan semangat untuk melawan daripada perspektif seorang budak sekolah perempuan. Aku kira ni adalah kekuatan cerita ni.


Berus Melakar Awan –Ted Mahsun 4/5 Bintang

Pertama sekali ialah perkataan wow untuk menggambarkan cerpen ni. Aku tak pernah baca cerpen saifai yang explain pasal something yang boleh dikatakan kompleks dengan bersahaja dan santai tapi tak mengelirukan dan yang paling penting  sepenuhnya menggunakan bahasa Melayu. Brader yang tulis ni surely got some wicked skills. Latar cerpen ni mengambil tempat di Musytari. Namun penulis tak banyak sangat explain pasal planet, sistem solar, you know benda-benda pasal astronomi yang berat-berat gitu sebab kalau penulis buat gitu aku rasa cerita ni akan jadi tipikal sangat. Ibarat copy paste info dari wiki dan masukkan plot untuk dijadikan cerita. Apa yang aku dapati menarik ialah penulis menggambarkan secara details tentang perlombongan gas di Musytari. Aku tak pernah dengar pasal benda ni dan aku rasa macam wow this is something yang cool dan advance gitu. Ianya satu elemen saifai yang menarik. Kemudian benda ni digabungjalinkan dengan keinginan/kehendak watak utamanya yang nak jadi pelukis *spoiler alert!*. Gabungan dua benda ni aku rasa macam tak kena sangat dan what the... tapi  somehow ianya macam make sense. Sebuah syarikat gergasi yang mengambil kesempatan ke atas watak utama cerita ni aku rasa boleh dikategorikan sebagai satu elemen cyberpunk. Namun begitu bercakap tentang watak utama cerita ni, mungkin ianya lebih baik kalau penulis menambahbaik atau menghuraikan berkenaan dengan emosi dan perasaan watak utama dengan lebih lanjut. Ini aku rasa suatu kekurangan  cerpen ni kerana bagaimana kalau pembaca yang tak minat sangat/ tak teruja dengan elemen saifai dan susah untuk mereka cuba ‘connect’ dengan cerpen ni. Tapi kalau ada elemen emosional sikit atau menyentuh tentang perhubungan manusia dengan lebih ketara/seimbang dalam cerpen ni ianya mungkin lebih menyentuh hati. Sebab bagi aku dalam cerita saifai juga kita mencari atau ingin mengetahui bagaimana emosi dan perasaan watak dan perhubungan sesama manusia dalam situasi dunia masa depan. Adakah perhubungan manusia masih intim dan tradisional ataupun manusia sudah keliru dengan emosi mereka sendiri? Contoh yang paling mudah kita ambil dari filem Wall-E (2008). Di atas kapal angkasa Axiom, kita dapat lihat manusia hanya memandang skrin setiap masa dan teknologi telah mengawal hidup mereka sepenuhnya sehingga manusia ketika itu tak lagi berfikir tentang perasaan mereka sendiri.


Arca Kehidupan –Lokman Hakim 3.6/5 Bintang

Cerpen ni dibuka dengan sebuah dunia masa depan yang bersifat distopia dan sebahagian besar populasi manusia menikmati kehidupan melalui realiti maya ala The Matrix kerana keadaan persekitaran bumi pada waktu itu sudah teruk akibat daripada perbuatan manusia sendiri juga. Cerpen ni diceritakan melalui perspektif seorang saintis yang ditugaskan menjaga keberadaan manusia-manusia lain yang sedang menikmati realiti maya dan tidak pernah sekalipun benar-benar ‘hidup’. Sedikit sebanyak cerpen ini membawa emosi yang sama dengan cerpen pembuka antologi ini iaitu Daerah Sebalik Tembok yang juga turut menonjolkan kasih sayang seorang anak kepada ibunya dalam persekitaran dunia distopia. Akan tetapi dapatlah disimpulkan bahawa cerpen Arca Kehidupan ini lebih kemas penceritaannya dan emosinya lebih sampai. Bagi aku, kekuatan cerpen ni ialah penulisannya yang jujur sehingga dapat menjelaskan mesej yang cuba disampaikannya. Latar distopianya ditulis dengan kemas dan tidak mengelirukan dan cerita yang sebenarnya ingin disampaikan disebalik latar itu ialah kasih sayang seorang anak kepada ibunya.


Sinar Gallus – Ikmal Ahmad 3.6/5 Bintang

Lepas baca cerpen ni aku masih tak faham apa maksud tajuk cerpen ni. Cerpen ni bagi aku ialah sebuah gabungan cerita emosi dan pengetahuan am. Dalam cerpen ni menyentuh tentang ayam cucuk dan masalah fobia dengan ayam cucuk ni memang satu benda yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang. Ada yang aku pernah jumpa memang tak makan terus ayam di pasaran dan hanya makan ayam belaan sendiri atau ayam kampung sahaja. Aku nak ulas lebih lanjut pun tentang ayam cucuk ni aku tak mahir sangat sebenarnya tapi bagi aku benda ni memang berlaku. Ok balik kepada cerpen ni. Penulis menulis tentang ayam cucuk ni secara ringkas berkenaan kaedahnya dilakukan dan kesannya kepada manusia. Bagi aku cerita ni tak mempunyai premis yang kuat, tapi penulis telah menyampaikan sesuatu yang penting atau sekurang-kurangnya membuka satu perbincangan yang rasanya memang pembaca dapat kaitkan dengan diri mereka. Dan gaya penyampaian tu aku rasa ok la. Akan tetapi aku rasa tulisan dalam cerpen ni yang cuba menggambarkan emosi contohnya macam,

“Tenang sedikit fikiran Jamilah bagai dilepaskan daripada hempapan mesin hidraulik pada daya 1000 Newton.”

adalah suatu metafora yang berlebih-lebihan. Aku tak ada masalah untuk promote some science thingy dalam fiksyen tapi pendekatan macam ni nampak macam agak annoying la.


Pantomim – Fahmi Mustaffa 3/5 Bintang

Cerpen ni menceritakan tentang dunia masa depan yang dikuasai android dan kepupusan manusia. Ianya ditulis secara bergurindam(?) atau dialognya berbunyi seakan syair gitu, aku tak pasti ianya apa. Tapi bila dibaca dialog wataknya seakan mereka bercakap dengan ada lenggok dan ritma. Aku kira teknik penulisan begini menyeronokkan juga untuk dibaca dan dicuba. Menyentuh kepada content yang dibawa cerpen ni ianya menyentuh tentang ketamadunan, sikap manusia secara keseluruhannya, kemasyarakatan, dunia apokalips atau pasca apokalips. Apa yang disampaikan penulis jelas dan bermakna walau aku rasa macam penulisannya terlalu berkias, tapi kita dapat apa maksudya. Salah satu mesej yang disampaikan cerpen ni ialah perbalahan sesama manusia hanya akan membawa kesan buruk kepada manusia dan alam sekelilingnya juga. Aku kira cerpen ni agak menarik kerana teknik penulisannya. Tulisannya ala gurindam tetapi menyampaikan tema pasca apokalips yang aku rasa aku tak pernah jumpa lagi setakat ni. Satu percubaan yang menarik.


Dan Lukisan, Apabila Ia Bernyawa... – Masdalifadzlie M Saaid 4.6/5 Bintang

Fuh, aku tak tahu macam mana nak mula cakap pasal cerpen ni.  Ok bagi aku, genre cerpen ni ialah fantasi epik. Kenapa genre tu? Yang tu kalau nak tau, korang kena baca sendiri. Dalam cerita ni, ada perang dengan kuasa jahat dan ada heroin yang lemah lembut yang naik kuda bersayap. Apa yang lebih menarik pasal cerita ni ialah gaya bahasanya yang aku rasa oldskool habis dan ianya membantu penceritaan menjadi lebih menarik. Aksi dalam cerita ni menarik dan dialognya bagus. Masa permulaan cerita ni aku sebenarnya tak faham langsung apa yang penulis cuba sampaikan sebab dia guna perkataan-perkataan pelik yang aku tak pernah jumpa. Dan sebenarnya aku tak sangka akan ada orang tulis cerpen macam ni kat Malaysia (atau susah nak jumpa). Aku rasa tertampar masa baca cerpen ni. Ha ha. Power betul.  Harap cerpen ni dapat terpilih untuk Cerpen Terbaik 2016. Akhir kata, tahniah kepada penulisnya kerana berjaya menulis cerpen sebaik ini.


Bajak Hutan – Amir Husaini 2.7/5 Bintang

Cerpen ni ada idea bagi aku tapi rasanya kekurangan cerpen ni ialah ianya diedit dengan kurang kemas. Jika editingnya lebih ketat mungkin pembacaan akan jadi lebih sedap. Cerpen ni mengisahkan tentang sebuah hutan yang dijaga oleh seorang gadis misteri yang berkebolehan luar biasa. Tidak dinafikan bila membaca gambaran watak ini mengingatkan aku kepada watak Poison Ivy daripada kartun Batman. Namun begitu, penggunaan watak ini bagi aku adalah tidak keterlaluan dan merupakan satu idea yang baik yang membantu menyampaikan maksud cerita. Mungkin juga, jika cerita ini dipanjangkan sikit lagi dan dimasukkan lagi konflik yang lebih mencabar, cerpen ni akan lebih menyerlah.


Hari-Hari Hari Ini – Zaki Zainol 4.1/5 Bintang

Cerpen ni mula dengan pembinaan suspen seram ala cerita seram tapi selepas itu ianya bergerak keluar daripada genre seram ataupun maksud aku ianya melangkaui genre seram. Aku suka dengan pergerakan cerita ni, sangat smooth. Idea cerita ni boleh dikatakan cliche tapi apa yang menarik penulis telah membawa kita melihat dari satu perspektif yang baru terhadap idea cliche itu. Kalau kau betul peminat saifai kau baca tajuk cerpen ni kau dah boleh teka elemen apa yang mungkin ada dalam cerita ni. Bagi aku cerpen ni satu bacaan yang enjoi dan dari aku mula membaca secara duduk terus kepada berbaring so korang nilailah sendiri betapa enjoinya aku waktu tu. Ok macam cerita-cerita best lain, kalau aku review panjang-panjang pun tak jadi jugak sebab korang kena baca sendiri cerpen ni untuk ‘enjoi’.  Kalau cerpen-cerpen lain kau taknak baca dalam antologi ni pun tak apa tapi cerpen ni kau wajib baca.


Cincin – Shariman Ismadi Ismail 3.4/5 Bintang

Cerpen ni mempunyai motif dan maksud yang baik dan itu juga merupakan kekuatannya. Ceritanya mudah difahami dan straight to the point. Watak utama dalam cerita ni ialah dua orang budak lelaki dan ini menjadikan feel cerita ni seakan cerpen untuk kanak-kanak. Akan tetapi itu bukanlah suatu benda yang tak bagus sebab aku rasa bila aku baca cerita ni ianya memang sebuah cerpen bergenre saifai yang cocok untuk pembacaan kanak-kanak. Dalam kata lain, aku terkenangkan diriku sebagai kanak-kanak dulu selalu membaca bahan bacaan saifai kanak-kanak.  Walaupun cerita ni begitu ianya masih tetap dapat memberi kesedaran kepada pembaca tanpa mengira lapisan umur tentang betapa sifat tamak dan pentingkan diri manusia tu akhirnya akan membawa kepada keburukan baik secara individu ataupun masyarakat.


Arcee –Asyiqin Azra’ai  2.6/5 Bintang

Membaca cerpen ni buat aku rasa macam baca mashup fan fiction antara sejarah asal usul Superman dengan berlatarkan dunia Star Wars. Bagi aku lagi, motif cerpen ni tak begitu kuat. Cerpen ni mengisahkan seorang budak lelaki yang mencari ibu bapa kandungnya merentasi galaksi dan planet-planet. Akan tetapi aku tiada masalah dengan penulisan cerita ni kerana ianya guna bahasa mudah dan straight to the point. Mungkin penulis boleh baiki lagi pasal stop mark/ stop point (?) aku tak tahu benda tu panggil apa. Maksud aku dari satu scene ke satu scene tu kadang-kadang aku keliru, adakah cerita ni dalam scene ni atau dah bercakap pasal scene lain? Lebih mudah kalau penulis letak tanda cerita dah berhenti dan tukar ke scene lain. Benda ni juga berkaitan dengan flashback. Flashback boleh ditulis dengan lebih kemas agar tak mengelirukan pembaca. Selain itu, aku juga rasa cerpen ni lebih kurang cerpen Cincin sifatnya iaitu membawa gaya keanak-anakan. Aku tak tahu sama ada aku terbawa-bawa benda ni, tapi kebanyakan cerita saifai dekat Malaysia ni secara umumnya aku rasa begitu. Aku harap itu hanya perasaan aku.


Chiemiera 2.0 – Damd Ahmad 3.1/5 Bintang

Sebenarnya aku suka idea yang dibawakan cerpen ni. Aku rasa ianya cool. Gambaran sebuah masa hadapan yang cool dengan details tentang teknologi-teknologi baru dan canggih dan asing yang ada di masa hadapan. Sebenarnya details atau perincian inilah yang membantu sebuah penceritaan kisah sains fiksyen menjadi menarik. Sebuah gambaran dunia yang lebih maju. Contohnya bila kita tonton filem Minority Report (2002), apa yang buat kita kagum ialah suasana masa depan dengan keretanya, jalan rayanya, rumahnya dan yang lain-lain lagi. Dan macam filem tu juga cerpen ni mengisahkan tentang kejadian jenayah di masa depan dan polis yang menyiasatnya. Penulisan cerpen ni pada awalnya memang memberi kesan suspen pada pembacaan. Dan idea dalam cerpen ni memang menarik iaitu tentang suatu yang bersifat digital atau software ataupun suatu siri kod program yang dapat menjelma ke dalam tubuh fizikal mengingatkan aku kepada filem-filem seperti  Tron:Legacy (2010), Transcendence (2014) dan pertukaran J.A.R.V.I.S. kepada Vision dalam Avengers: Age of Ultron (2015). Namun ending cerpen ni aku rasa terlalu mudah dan mendatar. Mungkin jikalau penulis boleh memanjangkan lagi kisah ni ataupun menyambungnya lagi kedengaran seperti suatu idea yang menarik.


Alegori Cycad – Sayidah Mu’izzah 3/5 Bintang

Bahasa dalam cerpen ni baik. Bagaimana penulis gambarkan pergerakan watak sangat matang penulisannya. Cerpen ni mengisahkan seorang perempuan yang ingin mencari jodoh dengan cara yang—aku tak faham sebenarnya apa perkaitan situasi yang sedang mereka hadapi dengan tujuan mencari jodoh. Situasi dalam cerpen ialah dua orang watak utama cerita baru lepas kemalangan kereta dan ada satu bebola(?) yang dapat mengesan jodoh yang baik untuk salah seorang watak utama cerpen ni iaitu seorang perempuan yang bernama Ella. Idea-idea dalam cerpen ni ok dan yang penting cerpen ni ada imaginasi dan dapat menggambarkannya dengan baik. Namun begitu aku rasa ada semacam sesuatu yang tak dapat menyatukan semua idea-idea dalam cerpen ni dan tindakan watak untuk mencapai matlamat dalam cerpen ni jadi kabur. Cerpen ni berakhir dengan bijak dan juga kelakar.


Misi 3077 – Amli Ghazali 2.4/5 Bintang

Cerpen ni ada idea walaupun idea tu cliche. Tapi cerpen ni kaku dan terlalu mendatar. Bagi aku, apa yang cerpen ni perlukan ialah konflik dan emosi yang disampaikan dengan lebih kemas supaya ianya berkesan dan meyakinkan. Dalam cerpen ni latar masanya ialah planet Bumi pada masa hadapan yang mempunyai pelbagai masalah yang berlaku dan menyebabkan manusia terpaksa mencari planet alternatif untuk hidup. Watak utamanya ialah seorang saintis dan pengembara yang telah mengetuai misi untuk mempersiapkan planet baru supaya boleh didiami manusia. Cerpen ni jadi boring kerana penyampaiannya lebih kepada memberitahu aka telling dan tidak lebih kepada menunjuk aka showing. Apabila penulis bercerita dan bercerita tentang ideanya, pembaca akan faham tetapi kalau penceritaan itu panjang dan berterusan ianya akan jadi boring. Mungkin bagi pembaca kanak-kanak cerpen ini akan tampil menarik kerana memang ianya menyampaikan satu idea yang menarik iaitu sebuah planet baru untuk manusia diami. Namun untuk lapisan umur lain cerpen ni mungkin kurang berkesan penyampaiannya dan boleh dianggap ceritanya kaku. Apa-apa pun ianya satu percubaan yang menarik.

#####

Ok berikut merupakan tiga cerpen yang terbaik dan yang kurang terbaik mengikut pilihan peribadi aku tanpa mengikut berapa bintang yang cerpen tu dapat.

3 Cerpen Terbaik

1. Dan Lukisan, Apabila Ia Bernyawa...
2. Berus Melakar Awan
3. Saka

3 Cerpen Kurang Terbaik

1. Misi 3077
2. Arcee
3. Daerah Sebalik Tembok


Ok. Sebagai konklusi, idea keseluruhan buku ini satu percubaan yang menarik. Melalui buku ni kita dapat lihat sebahagian kecil idea dan gaya cerpen moden masa kini di bawah payung genre saifai dan fantasi di Malaysia. Kita boleh nilai level mana cerpen kita bila bercakap tentang cerpen yang memfokuskan idea atau imaginasi sebagai isi cerita. Idea dan imaginasi ni maksud aku ialah sesuatu yang baru dan unik yang jarang difikirkan. Kalau nak diikutkan memanglah semua cerpen atau cereka ditulis berdasarkan imaginasi. Tetapi dalam konteks ni ianya sesuatu yang lain daripada yang lain ataupun luarbiasa gitu. Oh, tak lupa juga aku suka kertas yang digunakan buku ni. Sangat lembut dan licin gitu.

Selain tu, benda yang agak tak kena bagi aku ialah cerpen pembuka untuk antologi ni. Lepas baca cerpen ni, aku rasa mood pembacaan terganggu. Sepatutnya cerpen pembukaan ni kena letak yang power-power sikit. Barulah umph nak melancarkan bacaan dan juga sebagai first impression. Secara keseluruhannya cerpen yang betul-betul power dalam ni ada sikit sangat. Cerpen yang lain-lain kebanyakannya memang kurang mengancam sama ada dari segi idea atau penulisannya. Tetapi kebanyakannya penulisan okay. Ada yang penulisannya okay, tapi idea mengelirukan atau tak dapat nak sampaikan dengan baik atau ideanya memang biasa-biasa saja.

Harap kalau ada lagi buku macam ni lepas ni, banyak cerpen-cerpen yang beridea segar dan yang kita tak pernah tengok/baca di Malaysia mahupun di dunia. Maksud aku idea yang lain daripada yang lain dan yang menguji imaginasi pembaca.

Baiklah sebelum aku lupa, kebetulan semasa post ini ditulis, Penerbit X sedang buat pencarian cerpen untuk Imagikata II. Tarikh tutup pada 5/10/2016. Masih sempat lagi ni nak tulis. Klik sini atau sini untuk maklumat lanjut.

Akhir kata, kepada yang menulis teruskan menulis cerita yang lebih bagus dan kepada yang membaca teruskan membaca dengan lebih banyak.

Hasta luego, gais! <=== pengaruh Narcos