Ahad, 16 Julai 2017

Ulasan Zine: Bunyi Paling Melankolik Dunia, Masyarakat TV dan Stesen Kosmik




Kepada yang tak tahu, zine ni lebih kurang macam buku la dan tiga zine di atas mempunyai sekitar 50-60 muka surat dan telah di'binding' secara stapler.

Bunyi Paling Melankolik Dunia

Cantik betul zine ini. Ini perlu diperakui, pembuatan zine ini memang berkualiti dan memuaskan.

Zine ini dimulakan dengan cerpen yang mempunyai idea yang kelakar, tentang sekumpulan pemuda yang ingin membuat demonstrasi membantah perkahwinan atau pacaran gadis Malaysia dengan teruna asing. Ia juga secara tak langsung bercakap tentang keyboard warrior dan kisah putus cinta.

Kesemua cerpen dalam naskah ini menggunakan aku sebagai perspektif dan pembaca tidak diberitahu nama ‘aku’ tersebut. Ini meningatkan saya kepada sebuah buku cerpen yang yang bertajuk Wiski Pop. Di dalam Wiski Pop kesemua cerpen turut menggunakan ‘aku’ dan saya hampir pasti (seingat saya la) kesemua ‘aku’nya ialah orang yang sama, ataupun selepas membacanya saya mendapat idea begitu. Tetapi dalam Bunyi Melankolik, saya merasakan yang ‘aku’nya bukanlah orang yang sama. Akan tetapi tulisan Lucy M boleh dikatakan ada bau-bauan tulisan Mohd. Azmen. Apabila kita membacanya, suasana terasa redup dan udara menjadi pekat. Waktu dalam tulisan mereka bergerak perlahan.

Watak-watak ‘aku’ dalam Bunyi Melankolik ada yang putus cinta, kehilangan orang tersayang, sedang melarikan diri, mencari diri, dikhianati dan terlantar di hospital selepas menjalani pembedahan telinga.

Selain watak ‘aku’ pembaca juga dibawa bertemu dengan watak-watak lain yang istimewa. Penulis cenderung untuk bercakap tentang perhubungan manusia dan dialog antara watak terasa intim dan bermakna. Seolah antara apa yang watak cakapkan sesama mereka ialah sesuatu yang mereka benar-benar maksudkan, di samping dialog itu juga menjadi cara untuk penulis berkomunikasi terus dengan pembaca.

Antara cerpen yang berakhir dengan kelakar dalam naskah ini adalah Cinta Buatan Malaysia, Malas, dan Sempadan. Pasti terbit senyum kecil selepas membacanya.

Ada beberapa cerpen saya tak dapat kaitkan cerita dengan tajuk seperti Kelabu, Swing Swing, dan Cemburu Adalah Bunyi Paling Melankolik Dalam Dunia.

Gambaran situasi dan suasana dalam cerpen-cerpen ini sangat sederhana dan cerita bergerak apabila ada watak yang berbual. Kadang-kadang saya rasakan seperti ada ayat yang berulang-ulang, menerangkan tentang sesuatu tetapi ia tak begitu mengganggu. Cerita-cerita ini kadang terasa bergerak perlahan kerana penulis mencari-cari emosi cerita. Saya juga menemui agak banyak ayat-ayat falsafah yang sedap di dalam naskah ini.

Cerpen kegemaran saya adalah Kelabu, The Harmonica Dude, Menu dan April. Di dalam turutan tersebut.

Saya hampir pasti yang penulis sudah dapat menguasai bentuk pendek (cerpen-cerpen di dalam ini bersaiz cikedis ataupun ketupat kecil) dan saya menantikan untuk membaca ‘ketupat’ yang lebih besar. Dengan ketupat besar saya maksudkan cerpen yang lebih panjang dan bersaiz standard cerpen Malaysia.


Masyarakat TV

Naskah ini memang tidak bawa bertenang dan ibarat taik lembu yang jatuh setepek dari langit atas muka kau dan kau tak sempat ketis guna bahu (lawak dari filem P. Ramlee). Cerita-ceritanya gelap dan hampir tidak memberi pembaca apa-apa harapan yang positif. Penulis tahu untuk amplify sisi gelap manusia dalam cerita-ceritanya.

Cerpen paling sinematik bagi saya ialah 36 Minggu 2 Hari. Saya boleh nampak cerpen ini diangkat menjadi filpen. Ia menceritakan perjalanan terdesak seorang wanita bila dia hamil luar nikah, cuba menyembunyikannya dari dunia, mencari kekasih yang sepatutnya bertanggungjawab, dan terlibat sekali dalam kisah ini ialah emak kekasihnya itu.

Antara cerpen kegemaran saya dalam Masyarakat TV adalah Demi Duniya, Hatimu Plastik Gred Tinggi, Jodoh, dan Elevator Speech. Dalam turutan itu.

Demi Duniya kerana plotnya yang kompleks tapi dapat disampaikan dengan baik, Hatimu Plastik Gred Tinggi kerana plot twistnya, Jodoh kerana ia kelakar dan menyindir dalam masa yang sama dan Elevator Speech kerana ia satu kebetulan yang kelakar dan bersahaja.

Dalam cerita Perutku Balang Kaca Berisi Ikan Emas, perut seorang puteri raja bertukar menjadi seperti tajuk cerita kerana dia ingkar ayahandanya. Dia cuba kahwin lari dengan kekasihnya ahli muzik miskin, tetapi selepas kekasihnya itu menjadi terkenal kerana karyanya masyhur ayahandanya membenarkan mereka berkahwin. Cerpen ni mungkin menngingatkan kita kepada cerita Ibu Mertuaku dan satu lagi filem klasik tentang seorang puteri yang bergantung hidup pada ikan emas. Cerpen ini juga mengingatkan saya kepada cerpen The Screaming of The Fish tulisan Vincent Sakowski di mana seorang lelaki mempunyai kawan yang berkepala balang kaca dan di dalamnya ada dua ekor ikan emas.

Secara keseluruhan cerita-cerita di dalam ni memang emo, seperti seorang remaja perempuan yang pendiam dan berahsia, tidak mahu bercakap ketika makan malam bersama keluarga, bila ditegur dia akan melenting dan masuk ke bilik dan bapanya akan berkata, “Tengoklah anak awak tu,” kepada emaknya, di dalam bilik pula menyumbat earphone sepanjang masa, dan kalau dalam filem Malaysia kita tahu watak ini akan dibawa oleh Sara Ali. 

Saya tak tahu kenapa tapi naskah ini tidak cuba untuk beri harapan malah mengambilnya. Cerita-ceritanya secara tak langsung ibarat hendak memarahi cerita-cerita lain yang turut berada di rak kedai buku tempatan. Saya cuba mencari harapan di dalamnya tetapi semakin saya cari semakin saya rasa murung. Tanpa  disedari, cerpen bertajuk Masalah seperti mewakili kesemua cerpen di dalam naskah ini.

Jika cerita-cerita dalam naskah ini adalah jawapan balas kepada cerita-cerita Malaysiana yang baik dan sopan dan skema dan menjaga hati dan fikir-rasa masyarakat, ia telah berjaya. Ia telah jadi budak jahat yang ada swagger dan thugs life. Tetapi setelah masa berlalu, seorang budak jahat juga perlu menjadi baik, jika dia mahu meneruskan kehidupan di celah kemasyarakatan. Tapi jika dia nak tinggal kat atas bukit dalam hutan seperti dalam filem Okja yang baru saya tonton kelmarin, saya okay je. 


Stesen Kosmik

Perkara pertama yang saya perasan tentang tulisan dalam naskah ini ialah pacingnya. Jelas ia telah melalui pengalaman, dibasuh dan direndam oleh masa. Pergerakan tulisannya tidak terburu-buru dan dia sampaikan apa yang dia mahu sampaikan.

Yang keduanya ialah tentang perincian. Dia menggambarkan kepada pembaca secara grafik persekitaran cerita dan saya bayangkan kebanyakan scene dalam zine ini bercahaya suram dan malap. Ianya menenangkan, seperti sebuah kafe lewat malam.

Tiga cerita pertama dalam koleksi ini sebenarnya agak kaku bagi saya.

Sebuah Psikedelik Keretapi membawa pembaca menaiki keretapi bersama dengan wataknya. Ia membangkitkan naluri pengembara dalam diri. Dalam setiap manusia pasti ada sifat pengembaraan, curiosity untuk menjelajah atau sekadar melawat ke tempat baru, dan ia mungkin dengan menaiki keretapi, antara cabang pengangkutan tertua. Di dalam cerita ini digambarkan kesempitan wataknya tidur di dalam kubik tidur. Ia terasa sempit. Malah kadangkala ia terasa surreal.

Peace, Love, and Death Metal mengisahkan dua ‘orang’ yang nak pergi ke sebuah gig percuma. Ia mungkin pengalaman tipikal seorang remaja yang pergi ke gig tetapi saya suka twist di akhirnya. Penulis telah memberi hint sejak awal cerita tetapi kita yang selalu menggangap hal-hal remeh dan tipikal seperti itu terlepas pandang dan mungkin menepuk dahi.

Saya kira antara kekuatan penulis ialah cerita yang berunsur pengembaraan. Di dalam Pelancong Di Negara Mesin kita dibawa ke sebuah daerah di China. Watak di dalam cerita ingin ke tandas dan terpaksa berkomunikasi dengan penduduk setempat, bila watak sudah tak tahan nak terkucil dan masalah komunikasi menyukarkannya dan membuatnya tak tahan, ia turut membuat pembaca terkepit-kepit di hujung kerusi kerana turut merasa tidak tertahan. Cerita ini punya twist yang sedih. *sad emoji*

Cerita yang bertajuk Rickenbacker sedikit mengelirukan bagi saya, kenapa Gus telah mengupah Death untuk membunuhnya? Excalibur pula sebuah cerita dengan perincian grafik yang gory dan memualkan.

Saya kira antara kelemahan koleksi ini ialah penulis terlalu selesa dengan tema-tema ceritanya dan ini menjadikan pembacaan seperti sebuah graf yang mendatar.  

Saya tertanya-tanya apa yang watak mahu dan apa yang sepatutnya berlaku di dalam sesebuah cerita. Maksud saya perincian cerita itu jelas dan bagus tetapi apa yang sebenarnya berlaku dan apa yang menariknya tentang kisah ini? Kadangkala terasa seperti membaca sebuah description atau idea kasar tentang cerita. Saya menjadi kurang jelas tentang halatuju cerita dan maksud cerita yang dapat dikaitkan dengan diri saya. Ia kadangkala terlalu umum dan terawang-awangan.

Saya dapati cerita-cerita yang realisme lebih menonjol daripada cerita-cerita yang surreal dalam naskah ini. 

Antara kegemaran saya ialah Sebuah Psikedelik Keretapi, Pelancong Di Negara Mesin, Peace, Love, and Death Metal, Bagaimana Pinochio Memilih Untuk Tidak Menjadi Budak Sebenar dan Esok Masih Ada.


*****

Saya telah membaca ketiga-tiga zine ini dan apa yang dapat diperkatakan ialah masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.

Masyarakat TV punya idea yang bagus tetapi ia kedengaran marah dan seperti sudah tidak percayakan dunia lagi. Stesen Kosmik mempunyai tulisan yang tenang dan sabar dan tahu menggeletek bila perlu tapi ia seperti seseorang stranger di klinik yang bercakap dengan nada yang flat dari mula sehinggalah kita dipanggil oleh pembantu doktor. Berada di tengah-tengah ialah Melankolik Dunia; suaranya terdengar segar dan baru tetapi ia cuba membawa idea-idea  yang menarik, walaupun kita tahu ia bersifat personal tapi masih relatable.

Untuk dapatkan tiga zine di atas, klik pautan di bawah:


Sekian, adios.