Ahad, 16 Julai 2017

Ulasan Zine: Bunyi Paling Melankolik Dunia, Masyarakat TV dan Stesen Kosmik




Kepada yang tak tahu, zine ni lebih kurang macam buku la dan tiga zine di atas mempunyai sekitar 50-60 muka surat dan telah di'binding' secara stapler.

Bunyi Paling Melankolik Dunia

Cantik betul zine ini. Ini perlu diperakui, pembuatan zine ini memang berkualiti dan memuaskan.

Zine ini dimulakan dengan cerpen yang mempunyai idea yang kelakar, tentang sekumpulan pemuda yang ingin membuat demonstrasi membantah perkahwinan atau pacaran gadis Malaysia dengan teruna asing. Ia juga secara tak langsung bercakap tentang keyboard warrior dan kisah putus cinta.

Kesemua cerpen dalam naskah ini menggunakan aku sebagai perspektif dan pembaca tidak diberitahu nama ‘aku’ tersebut. Ini meningatkan saya kepada sebuah buku cerpen yang yang bertajuk Wiski Pop. Di dalam Wiski Pop kesemua cerpen turut menggunakan ‘aku’ dan saya hampir pasti (seingat saya la) kesemua ‘aku’nya ialah orang yang sama, ataupun selepas membacanya saya mendapat idea begitu. Tetapi dalam Bunyi Melankolik, saya merasakan yang ‘aku’nya bukanlah orang yang sama. Akan tetapi tulisan Lucy M boleh dikatakan ada bau-bauan tulisan Mohd. Azmen. Apabila kita membacanya, suasana terasa redup dan udara menjadi pekat. Waktu dalam tulisan mereka bergerak perlahan.

Watak-watak ‘aku’ dalam Bunyi Melankolik ada yang putus cinta, kehilangan orang tersayang, sedang melarikan diri, mencari diri, dikhianati dan terlantar di hospital selepas menjalani pembedahan telinga.

Selain watak ‘aku’ pembaca juga dibawa bertemu dengan watak-watak lain yang istimewa. Penulis cenderung untuk bercakap tentang perhubungan manusia dan dialog antara watak terasa intim dan bermakna. Seolah antara apa yang watak cakapkan sesama mereka ialah sesuatu yang mereka benar-benar maksudkan, di samping dialog itu juga menjadi cara untuk penulis berkomunikasi terus dengan pembaca.

Antara cerpen yang berakhir dengan kelakar dalam naskah ini adalah Cinta Buatan Malaysia, Malas, dan Sempadan. Pasti terbit senyum kecil selepas membacanya.

Ada beberapa cerpen saya tak dapat kaitkan cerita dengan tajuk seperti Kelabu, Swing Swing, dan Cemburu Adalah Bunyi Paling Melankolik Dalam Dunia.

Gambaran situasi dan suasana dalam cerpen-cerpen ini sangat sederhana dan cerita bergerak apabila ada watak yang berbual. Kadang-kadang saya rasakan seperti ada ayat yang berulang-ulang, menerangkan tentang sesuatu tetapi ia tak begitu mengganggu. Cerita-cerita ini kadang terasa bergerak perlahan kerana penulis mencari-cari emosi cerita. Saya juga menemui agak banyak ayat-ayat falsafah yang sedap di dalam naskah ini.

Cerpen kegemaran saya adalah Kelabu, The Harmonica Dude, Menu dan April. Di dalam turutan tersebut.

Saya hampir pasti yang penulis sudah dapat menguasai bentuk pendek (cerpen-cerpen di dalam ini bersaiz cikedis ataupun ketupat kecil) dan saya menantikan untuk membaca ‘ketupat’ yang lebih besar. Dengan ketupat besar saya maksudkan cerpen yang lebih panjang dan bersaiz standard cerpen Malaysia.


Masyarakat TV

Naskah ini memang tidak bawa bertenang dan ibarat taik lembu yang jatuh setepek dari langit atas muka kau dan kau tak sempat ketis guna bahu (lawak dari filem P. Ramlee). Cerita-ceritanya gelap dan hampir tidak memberi pembaca apa-apa harapan yang positif. Penulis tahu untuk amplify sisi gelap manusia dalam cerita-ceritanya.

Cerpen paling sinematik bagi saya ialah 36 Minggu 2 Hari. Saya boleh nampak cerpen ini diangkat menjadi filpen. Ia menceritakan perjalanan terdesak seorang wanita bila dia hamil luar nikah, cuba menyembunyikannya dari dunia, mencari kekasih yang sepatutnya bertanggungjawab, dan terlibat sekali dalam kisah ini ialah emak kekasihnya itu.

Antara cerpen kegemaran saya dalam Masyarakat TV adalah Demi Duniya, Hatimu Plastik Gred Tinggi, Jodoh, dan Elevator Speech. Dalam turutan itu.

Demi Duniya kerana plotnya yang kompleks tapi dapat disampaikan dengan baik, Hatimu Plastik Gred Tinggi kerana plot twistnya, Jodoh kerana ia kelakar dan menyindir dalam masa yang sama dan Elevator Speech kerana ia satu kebetulan yang kelakar dan bersahaja.

Dalam cerita Perutku Balang Kaca Berisi Ikan Emas, perut seorang puteri raja bertukar menjadi seperti tajuk cerita kerana dia ingkar ayahandanya. Dia cuba kahwin lari dengan kekasihnya ahli muzik miskin, tetapi selepas kekasihnya itu menjadi terkenal kerana karyanya masyhur ayahandanya membenarkan mereka berkahwin. Cerpen ni mungkin menngingatkan kita kepada cerita Ibu Mertuaku dan satu lagi filem klasik tentang seorang puteri yang bergantung hidup pada ikan emas. Cerpen ini juga mengingatkan saya kepada cerpen The Screaming of The Fish tulisan Vincent Sakowski di mana seorang lelaki mempunyai kawan yang berkepala balang kaca dan di dalamnya ada dua ekor ikan emas.

Secara keseluruhan cerita-cerita di dalam ni memang emo, seperti seorang remaja perempuan yang pendiam dan berahsia, tidak mahu bercakap ketika makan malam bersama keluarga, bila ditegur dia akan melenting dan masuk ke bilik dan bapanya akan berkata, “Tengoklah anak awak tu,” kepada emaknya, di dalam bilik pula menyumbat earphone sepanjang masa, dan kalau dalam filem Malaysia kita tahu watak ini akan dibawa oleh Sara Ali. 

Saya tak tahu kenapa tapi naskah ini tidak cuba untuk beri harapan malah mengambilnya. Cerita-ceritanya secara tak langsung ibarat hendak memarahi cerita-cerita lain yang turut berada di rak kedai buku tempatan. Saya cuba mencari harapan di dalamnya tetapi semakin saya cari semakin saya rasa murung. Tanpa  disedari, cerpen bertajuk Masalah seperti mewakili kesemua cerpen di dalam naskah ini.

Jika cerita-cerita dalam naskah ini adalah jawapan balas kepada cerita-cerita Malaysiana yang baik dan sopan dan skema dan menjaga hati dan fikir-rasa masyarakat, ia telah berjaya. Ia telah jadi budak jahat yang ada swagger dan thugs life. Tetapi setelah masa berlalu, seorang budak jahat juga perlu menjadi baik, jika dia mahu meneruskan kehidupan di celah kemasyarakatan. Tapi jika dia nak tinggal kat atas bukit dalam hutan seperti dalam filem Okja yang baru saya tonton kelmarin, saya okay je. 


Stesen Kosmik

Perkara pertama yang saya perasan tentang tulisan dalam naskah ini ialah pacingnya. Jelas ia telah melalui pengalaman, dibasuh dan direndam oleh masa. Pergerakan tulisannya tidak terburu-buru dan dia sampaikan apa yang dia mahu sampaikan.

Yang keduanya ialah tentang perincian. Dia menggambarkan kepada pembaca secara grafik persekitaran cerita dan saya bayangkan kebanyakan scene dalam zine ini bercahaya suram dan malap. Ianya menenangkan, seperti sebuah kafe lewat malam.

Tiga cerita pertama dalam koleksi ini sebenarnya agak kaku bagi saya.

Sebuah Psikedelik Keretapi membawa pembaca menaiki keretapi bersama dengan wataknya. Ia membangkitkan naluri pengembara dalam diri. Dalam setiap manusia pasti ada sifat pengembaraan, curiosity untuk menjelajah atau sekadar melawat ke tempat baru, dan ia mungkin dengan menaiki keretapi, antara cabang pengangkutan tertua. Di dalam cerita ini digambarkan kesempitan wataknya tidur di dalam kubik tidur. Ia terasa sempit. Malah kadangkala ia terasa surreal.

Peace, Love, and Death Metal mengisahkan dua ‘orang’ yang nak pergi ke sebuah gig percuma. Ia mungkin pengalaman tipikal seorang remaja yang pergi ke gig tetapi saya suka twist di akhirnya. Penulis telah memberi hint sejak awal cerita tetapi kita yang selalu menggangap hal-hal remeh dan tipikal seperti itu terlepas pandang dan mungkin menepuk dahi.

Saya kira antara kekuatan penulis ialah cerita yang berunsur pengembaraan. Di dalam Pelancong Di Negara Mesin kita dibawa ke sebuah daerah di China. Watak di dalam cerita ingin ke tandas dan terpaksa berkomunikasi dengan penduduk setempat, bila watak sudah tak tahan nak terkucil dan masalah komunikasi menyukarkannya dan membuatnya tak tahan, ia turut membuat pembaca terkepit-kepit di hujung kerusi kerana turut merasa tidak tertahan. Cerita ini punya twist yang sedih. *sad emoji*

Cerita yang bertajuk Rickenbacker sedikit mengelirukan bagi saya, kenapa Gus telah mengupah Death untuk membunuhnya? Excalibur pula sebuah cerita dengan perincian grafik yang gory dan memualkan.

Saya kira antara kelemahan koleksi ini ialah penulis terlalu selesa dengan tema-tema ceritanya dan ini menjadikan pembacaan seperti sebuah graf yang mendatar.  

Saya tertanya-tanya apa yang watak mahu dan apa yang sepatutnya berlaku di dalam sesebuah cerita. Maksud saya perincian cerita itu jelas dan bagus tetapi apa yang sebenarnya berlaku dan apa yang menariknya tentang kisah ini? Kadangkala terasa seperti membaca sebuah description atau idea kasar tentang cerita. Saya menjadi kurang jelas tentang halatuju cerita dan maksud cerita yang dapat dikaitkan dengan diri saya. Ia kadangkala terlalu umum dan terawang-awangan.

Saya dapati cerita-cerita yang realisme lebih menonjol daripada cerita-cerita yang surreal dalam naskah ini. 

Antara kegemaran saya ialah Sebuah Psikedelik Keretapi, Pelancong Di Negara Mesin, Peace, Love, and Death Metal, Bagaimana Pinochio Memilih Untuk Tidak Menjadi Budak Sebenar dan Esok Masih Ada.


*****

Saya telah membaca ketiga-tiga zine ini dan apa yang dapat diperkatakan ialah masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.

Masyarakat TV punya idea yang bagus tetapi ia kedengaran marah dan seperti sudah tidak percayakan dunia lagi. Stesen Kosmik mempunyai tulisan yang tenang dan sabar dan tahu menggeletek bila perlu tapi ia seperti seseorang stranger di klinik yang bercakap dengan nada yang flat dari mula sehinggalah kita dipanggil oleh pembantu doktor. Berada di tengah-tengah ialah Melankolik Dunia; suaranya terdengar segar dan baru tetapi ia cuba membawa idea-idea  yang menarik, walaupun kita tahu ia bersifat personal tapi masih relatable.

Untuk dapatkan tiga zine di atas, klik pautan di bawah:


Sekian, adios.

Isnin, 19 Jun 2017

Ulasan Buku: Tinju dan Peluru


Saya membaca cerita Si Pengedar Muda dan Pugilis di internet sebelum dapat memegang buku ni.

Saya sebenarnya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi ketika mula menyelaknya.

Separuh pertama cerita dalam naskah ini boleh dikatakan sederhana baik, dari segi bahasanya lembut dan watak-wataknya yang seakan-akan nyata. Cerita-cerita ini membawa kita melawati negeri-negeri tempatan dan juga di sekitar asia tenggara dan gambaran tempat-tempat ini minimalis tetapi meyakinkan. Penulis tidak hanya bercerita tentang tempat tetapi tentang watak-watak yang dijumpai yang mempunyai identiti mereka tersendiri dan sudah tentunya bermacam ragam. Cerita yang bertajuk Vitamin Sea antara yang saya ingati selepas membaca padahal saya rasa gambarannya hanya minimalis tetapi impak penceritaannya membuat saya terkenang-kenang dan seakan terpanggil untuk merasai sendiri dan menikmati suasana pantai Parangtritis di Jogjakarta.

Seterusnya dua cerita yang bertajuk Atm dan Sultan & Wang saya kira cubaan penulis untuk menulis cerita yang lebih inventive daripada cerita-cerita yang sebelumnya. Saya kurang memahami Sultan & Wang tetapi di dalam cerita Atm seorang lelaki telah ditarik oleh sepasang tangan yang keluar dari mesin atm (maaf ya spoiler). Kedua cerita ini kontot sahaja dan penulis cuba bercakap tentang hakikat dalam sebuah kehidupan moden yang membelit manusia.

Cerita kegemaran saya dalam koleksi ini bertajuk Kesumat. Cerita ini merupakan satu tumbukan padu dalam koleksi ini kerana plotnya yang kuat dan menjadi. Daripada cerita-cerita sebelum ini kita dapat lihat penulis menumpukan kepada latar, watak dan dalam Kesumat pula ianya satu plot yang memuaskan dan sangat kena dengan tona ceritanya. Kesumat tidak lain dan tidak bukan tentang seorang anak yang membalas dendam atas kematian bapanya.

Adirimau sebuah cerita tentang vigilante dengan suasana Malaysia dan juga turut bercakap tentang hal gelandangan kota. Saya tak tahu kenapa tapi masih ada yang tidak cukup dengan cerita ini. Akan tetapi dalam hal sebuah cerita yang cuba menjadi diri sendiri, Adirimau telah berjaya. Ia mungkin diri saya yang kerap teringatkan atau cuba-cuba membandingkannya dengan cerita superhero yang lain, yang di kaca tv atau di layar lebar. 

Baiklah sebenarnya saya nampak kedua cerita ini, Kesumat dan Adirimau seakan ada potensi untuk diangkat ke kaca tv atau menjadi siri mini di laman penstriman berbayar. Ini kerana kedua cerita ini ada latar kota yang moden, ceritanya bertona gelap dan bertema jenayah, ada drama, mempunyai watak yang mempunyai konflik diri dan mempunyai aksi yang baik. Tidak dapat tidak saya teringatkan siri tv Daredevil (dan juga kebetulan di dalamnya juga ada The Punisher).

Seterusnya keempat cerita terakhir, kuat memancarkan tentang temujanji, cinta dan perhubungan. Terlena Di Rumah Kaca saya kira sebuah percubaan untuk cerita misteri. Cerita terakhir dalam koleksi ini agak lain daripada yang lain kerana pov penceritaan yang melompat-lompat tetapi ceritanya masih dapat difahami.

Yang saya dapat simpulkan dari koleksi ini ialah bahasa penulis yang lembut dan penyampaiannya tenang dan tak terburu-buru, senang sekali apabila dibacanya. Sebenarnya kebanyakan bahan bacaan saya ialah buku-buku indie dan apabila membaca buku ini saya agak terkejut dengan bahasanya yang lembut, puitis dan indah dalam masa yang sama.  Saya kira kebanyakan watak dalam cerita penulis digambarkan dengan sederhana dan inilah kekuatannya.

Satu lagi perkara yang mengganggu saya ialah tajuk buku ini. Tajuk buku ini menggambarkan isu-isu yang dibawa dalam buku ini, terutamanya ia diceritakan dari kaca mata seorang lelaki. Akan tetapi tajuk buku ini tidak menggambarkan kelembutan dan kepuitisan bahasa dalam buku ini dan saya kira itu adalah sesuatu yang merugikan. Pembaca dan masyarakat umumnya perlu tahu yang bahasa yang baik belum mati dalam penulisan tempatan dan ia juga tidak menyampaikan cerita-cerita yang mengantuk apabila dibaca.

Ahad, 21 Mei 2017

Ulasan Buku: Melayu dari Marikh

Yeay.

Mula-mula aku rasa buku ni macam boring. 

Cerita yang betul-betul pancing aku untuk membaca secara serius buku ni ialah Arnab dan Kura-kura. Cerpen ni mengisahkan tentang sengketa dua spesis ni yang kita tahu ada terdapat dalam cerita dongeng perlumbaan arnab dan kura-kura. Tapi untuk versi ni, cerita ni mengambil latar fantasi (bayangkan istana dalam cerita The Hobbit) dan juga kisah bagaimana dua spesis ni yang sedang berperang untuk mempertahankan kerajaan dan negara mereka. Kool jugak kan ideanya? Cerpen ni sedap baca sebab gaya penceritaannya yang taktikal dan terma militarinya yang tidak keterlaluan.

Seterusnya cerita yang juga tajuk buku ini, Melayu dari Marikh menceritakan pengembaraan tiga angkasawan yang mewakili kaum di Malaysia, dalam pencarian suatu ilmu dari seorang pendekar lagenda. Dalam pengembaraan itu mereka asyik bergaduh dengan sentimen perkauman dan akhirnya...hrmm malas la nak bagi spoiler. Korang baca sendirilah. Walaupun cerita ni nampak macam biasa tapi maksudnya sedap dan mendalam.

Seterusnya ialah Kunci Jerangkung. Cerpen ni menceritakan tentang seorang budak perempuan muda yang nak rebel dan nak cacah tatu dekat badan dia sebab dia nak jadi rebel dan kool. Kemudian dia telah ke kedai tatu untuk berbuat demikianlah kan. Selepas buat tatu tauke kedai ni bagi satu kunci pada dia, yang kononnya jika dimasukkan pada pintu yang betul kemudian pintu itu dibuka dunia di balik sana adalah seperti yang si pemegang kunci idamkan. Lebih kurang gitulah ceritanya. Endingnya aku tak faham sangat tapi aku tau cerita ni sebenarnya nak cakap tentang anak muda yang marahkan dunia sekelilingnya.

Hari-hari terakhir seorang superhero bagi aku cerita paling power dalam buku ni. Cerita ni membuatkan aku sedar apa yang membuatkan cerpen saifai tulisan penulis ini ialah pemaknaan di sebalik kisah yang diceritakan. Cerpen ni ialah kisah seorang superhero yang mempunyai kekuatan superhuman menyelamatkan kekasihnya yang ditangkap penjahat. Dan apa yang berlaku selepas itu bakal mengejutkan pembaca. Setelah bertarung dan membunuh konco-konco penjahat dan membunuh ketua penjahat kekasih superhero ni tanya, bila dia mengambil tindakan sebegitu apa beza dia dan penjahat itu? Haa amacam? Mesti korang pun dilema kan kalau kena tanya camni.

Aku dan robot anjing bernama marty ni agak cliche sikit dengan bancuhan latar pasca apokalips (ft. zombi) tetapi agak sayulah kisahnya dan disulam dengan tema kekeluargaan yang menjadi lah.

Cerpen izaq punya latar fantasi dan mitologi yang kuat dan diselang seli dengan kisah realisme yang punya tema famili juga ala-ala cerekarama tv3. Tak ada la banyak sangat yang tv3 tu tapi bolehlah.

Sepetang di kuala lumpur ni tak ada elemen saifai sebenarnya, mengisahkan tentang perbualan dua orang strangers tentang perkahwinan. Ada la kelakar sikit cerita dia.

Malam pertama dan @seramsial sebenarnya kisah seram yang agak jadi-jadian. Ceritanya biasa-biasa ja aku rasa.

Epilog-selamat hari jadi, sebuah cerita tentang koloni bawah tanah yang musnah struktur masyarakatnya akibat sifat manusia sendiri.

Prolog-sekapur sireh ialah perbualan dua orang pegawai tertinggi Nazi yang agak menarik juga dan aku rasa ok juga kalau nak dipanjangkan.

Ok itu saja lah komen aku dari segi ceritanya.

Dari segi teknikal pula aku kurang minat dengan font besar buku ni lepas tu rapat-rapat pula. Letih mata membacanya. Aku syak ini ialah teknik untuk menipiskan buku. Ye lah kalau kau tengok buku tebal-tebal pun kau malas nak baca kan.

Ok sebagai penggulungan, kalau kau malaysian atau kau peminat saifai atau scifi atau fiksyen sains, kau kena la dapatkan buku ni sebab terang-terang kot tajuk buku ni ada perkataan melayu dan marikh. Dan juga kau kena baca cerita-cerita best yang ada kat tengah buku ni.


Marty McFly: Hey, Doc, we better back up. We don't have enough road to get up to 88.

Dr. Emmett Brown: Roads? Where we're going, we don't need roads.

Swooosshhh...

Khamis, 6 April 2017

Ulasan Buku: Cinta Hipster


Bekgraun tempat seterika baju.


Jurnal Cinta – Apit Jamal 4.2/5 

Kalau baca cerpen ni tak senyum sorang-sorang memang tak sah. Sweet sampai habis cerpen ni. Aku suka cerpen ni sebab cerita dia rileks dan santai. Ada juga input yang bersifat peribadi daripada penulis yang membuat cerpen lebih menyerlah. Kelebihan cerpen ni aku rasa ialah ceritanya tak boring. Atau sekurang-kurangnya penulis tahu untuk tulis satu kisah yang tak boring dan juga sweet. Atau mungkin ditulis dengan gaya jurnal membuat cerpen ni jadi tak boring? Ahh. Aku lebih rasa tulisan penulis ni ada potensi. Aku harap penulis ni akan tulis satu novel la nanti. Sebab macam tak puas sangat baca yang ni. By the way,  kekurangan dalam cerpen ni bagi aku ialah bahasa. Mula-mula nampak macam rempit sikit, tapi lama-lama dah okay. Mungkin penulis masih mencari gayanya lagi. Harap ni bukan karya terakhirnya.


Bukit Cinta Hipster Dua Marhalah – Unu 4.3/5 

Aku tak tahu kenapa tapi gaya bahasa cerita ni pada permulaannya mengingatkan aku kepada novel-novel Jemari Seni. Okay terus terang dialog cerita ni memang tahap manis potong kaki, tulisannya bawa vibe teenagers yang kuat  dan juga kelakar, dan ada juga pop culture reference yang mengena dengan cerita dan membuatkan cerpen ni yang paling hipster setakat ni aku baca dalam buku ni (aku baca mengikut turutan). Korang kena baca sendirilah k?


Abang Bersongkok Senget – M. L. Hadi 3.5/5 

Cerpen ni bahasanya bagus. Jalan ceritanya pun tersusun. Penulisan begini nampak macam dah ada pengalaman menulis sebelum ini. Cerpen ni berkisar pada satu falsafah. Kalau nak tahu falsafah apa korang baca sendiri buku ni. Cerpen dimulakan dengan cerita kemudian dijalin dengan falsafah, dan dekat ending, ceritanya dah habis tapi penulis tetap menulis bagaikan esei. Ibarat cerita bermula sebagai sebuah cerpen fiksyen dan berakhir seperti esei. Bagi aku kalau penulis tambah perjalanan cerita sikit lagi mungkin okay kot. Dan jalinkan dengan part esei tu. Part esei tu berkenaan cinta juga so tak ada masalah. Sebab bagi aku bila cerita dah habis, pembaca mungkin akan berhenti membaca di tengah jalan dan mungkin juga skip part esei tu. So jadi rugilah kalau macam tu. Apa-apa pun ini ialah satu cubaan yang baik.


Cinta Benjamin Serius – Syafiq Ghazali 3.3/5 

Bahasa cerpen ni bagus. Cerpen ni membawa kita ke dalam penceritaannya dengan teratur dan smooth. Tapi bagi aku cerpen ni rasa seperti sebuah cerpen yang generic. Tiada apa yang istimewa yang melekat dalam kepala lepas baca. Cerpen ni juga mungkin merujuk kepada dirinya sendiri sebagai sebuah cerpen moden lalu bercakap tentang hal buku, kafe, arsitektur dan gambaran seorang heroin filem romcom indie hollywood. Apa yang aku suka ialah adegan batu hilang dari dalam balang. Aku rasa ia metafora yang baik. Juga dari apa yang aku nampak, aku rasa cerpen ini sebenarnya metafora kepada kerumitan sebuah perhubungan cinta dan misteri sifat wanita.


Cinta Hipster #1 – GADISBUTAHURUF 4/5 

Tulisan cerpen ni bagus dan smooth. Idea ceritanya pun ok. Aku tak tahu sama ada ni kisah benar atau tak. Tapi boleh jadi jugak macam kisah benar sebab cerita dia ada feel yang real. Mungkin daripada pengalaman penulis la kan. Tapi kisahnya memang sweet tahap potong kaki la jugak. Daripada pemerhatian aku, antara laki dan perempuan, expectation perempuan terhadap hal-hal cinta dan kahwin ni lagi tinggi la daripada lelaki. Kalau lelaki tu relaks-relaks ja rasanya. Tapi tu lah, semua manusia pun ada taste dan target dia juga dalam hal-hal gini. Sebab semua manusia ada perasaan kan. Tak tahulah kalau tak ada tu. Robotlah kot dia tu.

Cerpen ni banyak kritik tentang expectation dan tanggapan generasi muda masakini (generasi instagram) terhadap isu cinta dan perkahwinan. Ataupun bahasa kampungnya #relationshipgoals. Isi cerpen ni memang kena dengan isu semasa menjadikan cerita ni relatable. Penulis menceritakan kisah cintanya (tak tahu rekaan atau pengalaman sendiri) dan juga menghuraikan sikit sebanyak tentang trend muda mudi yang suka memuatnaik kisah cinta sweet-sweet depa di laman sosial instagram. Adakah trend ni suatu yang baik dan bermanfaat atau telah mengubah pandangan anak remaja untuk melihat ianya sebagai satu matlamat dalam bercinta dan berkasih sayang? Hmmm. Kalau nak tahu kenalah baca cerpen ni. 


Cinta Pandang Pertama – Malique Ridzuan 2.9/5

Bahasa cerpen ni bagus cuma ada beberapa kesalahan editing yang sedikit menjengkelkan. Ceritanya pula tergantung, baru sampai konflik dan cerita habis. Kalau sambung sikit lagi maybe akan okay. 


Converse Merah – Amir Syar 3.3/5

Premis cerpen ni agak menarik dan surprisingly secara keseluruhan cerpen ni dapat memberi emotional punch yang baik lepas aku habis baca. Penulis dapat menyampaikan ceritanya dengan baik walaupun agak laju sebab aku rasa kalau lebih slow dan melankolik cerpen ni akan jadi lebih sedih. Dan perkaitan dengan tema antologi juga boleh dikatakan relevan.


Dia Si Bodoh Dan Isteri Betinanya – Khadijah Aminah 3.4/5

Latar cerpen ni seperti ia berada dalam sebuah dunia seakan animasi Pixar atau Laika dan ianya berhasil. Apa yang bagus, penulis tahu menggunakan teknik foreshadowing dan mengheret pembaca untuk membaca sehingga halaman terakhir. Premisnya absurd tetapi mengambil pendekatan yang berbeza dari kebanyakan cerpen lain dalam menyampaikan maksud cinta hipster.


Fotostat Kasih Berduri – Double NA 2.1/5 

Cerpen ni punya jalan cerita macam drama tv1 atau novel cintan cintun alaf-21 yang punya formula generic dan ending cliche. Aku berjaya teka ending cerpen ni dan ianya betul. Daripada pemerhatian aku, penulisan cerpen ni menggambarkan bahawa penulisnya masih ‘baru’ dan penulisan boleh dikatakan lemah. Ini dapat dilihat semasa penulis cuba untuk tukar scene (transition) dan ianya janggal dan mengelirukan. Penulis tidak menggunakan simbol break untuk menukar scene sebaliknya menggunakan simbol bintang pada permulaan ayat dan menggunakan perkataan yang dibold dengan saiz yang sedikit besar (Untuk maklumat lebih lanjut boleh gugel ‘scene break symbol’). Juga masalah yang paling selalu kita jumpa dalam buku, ialah masalah salah ejaan atau bahasa kampungnya, typo. Typo boleh tahan dalam ni. Dan juga kependekan ejaan atau shorform atau bahasa sms ada juga dijumpai dalam ni. Ni semua nak salahkan penulis pun rasanya macam tak kena sebab ni tugas editor dan proofreader (Untuk maklumat lebih lanjut boleh gugel editor job description dan proofreader job description). Basically masalah-masalah yang aku sebutkan ialah masalah teknikal dan benda tu boleh improve. Penulisan boleh improve dengan practice, editing juga gitu dan quality check pun boleh lebih rinci lagi. Well, lebih baik improve daripada duduk di takuk yang sama kan.


Hanya Cerita Kosong – Asmar Shah 3/5

Penceritaan cerpen ni agak meleret-leret gaya novel menjadikan cerpen ni panjang. Penulis describekan dengan detail kelakuan watak. Jalan ceritanya aku rasa macam ala telenovela filipino sikit digabung dengan drama melayu dan dialog wataknya agak kelakar dan kedengaran macam watak anime tengah bercakap. Kalau kau nak tahu macam mana nak tulis ayat dalam novel kau kena rujuk cerpen ni.


Kromosom Y – Syikin Zauzi  4.1/5 

Cerpen ni bermula dengan biasa-biasa secara jujurnya tetapi perlahan-lahan ia membawa kita masuk ke dalam satu kekusutan yang jelas.  Arah yang dituju dalam cerpen ni jelas dan itu satu yang bagus. Pada mulanya aku berfikir cerpen ni mahu bercerita apa sebenarnya? Watak utamanya membahasakan diri sebagai ‘aku’ dan hanya banyak bercakap tentang orang lain iaitu kawan-kawan dalam kumpulan sosialnya. Aku kira ini ialah satu trick untuk mengaburkan pembaca dan juga satu hint kepada pembaca bermata tajam. ‘Aku’ bercakap tentang cinta tiga segi (atau empat segi?) di antara kawan-kawannya dan ada sedikit tentang perasaannya kepada salah seorang dari mereka. Hampir ke penghujung cerita kita diberikan satu plot twist yang aku kira agak baik. Cerpen ni juga secara tidak langsung mengingatkan aku kepada novel tulisan Nadia Khan iaitu Kelabu (2011). Aku petik sikit bahagian yang sedap dalam cerpen ni: 

“Fezrul, kita mulakan hidup baru okey? Aku yakin kau adalah yang terbaik untuk aku. Kau akan lengkapkan kelemahan aku dengan kesempurnaan yang kau ada,”

Amacam, sweet kan?


#LoveWin – Syahirah Selamat 2.9/5 

Cerpen ni mengisahkan tentang seorang ‘lelaki’ yang mencintai dua perempuan yang berlainan dalam satu masa. So cerpen ni membedah konflik di antara mereka bertiga dan juga konflik dalaman ‘lelaki’ tersebut. Bagi aku penggunaan bahasa dalam cerpen ni masih di tahap sederhana dan boleh diperbaiki lagi. Ending cerpen ni pun bagi aku macam tak kena sangat dan terburu-buru, tapi ada logiknya sebab membantu perkembangan watak utamanya.  


Korban – Nazhanny 2.7/5 

Cerita ni sebenarnya too good not to be true. Mungkin diilhamkan daripada pengalaman sebenar. Tapi dalam konteks cinta hipster dan fiksyen, kat mana kedudukan cerita ni sebenarnya? Aku cuba cari perkaitan cerita ni dengan cinta hipster tapi rasa macam tak kena sangat. Dari segi bahasa dan penulisan cerita ni tak ada masalah. Tapi juga dari segi idea, cerita ni memang cliche dan ada lagi ka anak muda yang suka baca cerita macam ni? Hrmmm mungkin ada lagi. Tapi truth to be told idea ni memang cliche dari konteks fiksyen walaupun isu yang dibawa bersifat evergreen dalam konteks sosial.


Teddy – Ayalabil 3.6/5

Penulis berjaya mengawal watak dan ceritanya. Penulis menggunakan waktu sebagai tajuk untuk setiap perenggan ceritanya dan sekaligus menjadikannya seperti babak-babak atau satu bab demi satu bab dan menjadikan ceritanya tersusun. Ini mengingatkan aku kepada gaya cerpen Zainal Rashid Ahmad. Bila berbuat begini setiap perenggan dalam cerita kita tu akan lebih jelas isi penyampaiannya dan teratur dan kita akan lebih mengawal cerita kita. Dalam cerpen ni juga menulis dapat membuat perkaitan setiap rentetan babak yang berlaku dan juga plot twist di akhirnya. Penggunaan dialognya dan penceritaannya seimbang dan kekuatan cerita ni ialah ia tidak meleret-leret. Satu bacaan yang menarik.  


XX & XY – Hanna Syah 3/5 

Bahasa dan flow cerpen ni ok. Penulis tahu apa yang dia nak sampaikan. Aku rasa cerpen ni ditulis berdasarkan pengalaman yang pernah dilalui penulis. Isu dilema dalam percintaan dan persahabatan ni rasanya berlaku kat semua orang kot. Kita rapat dengan seorang yang berlainan jantina dengan kita, kita rasa selesa, timbul rasa suka dan so on, so on. Alah, you know the drill. Pada permulaan cerpen baca macam some ramblings about love, kemudian ada la flow cerita sikit. Ok lah. Cerpen ni ditulis dengan jujur. Goodjob kepada penulis. Letak quote dari cerpen ni sikit lah: 

“Aku tak boleh salahkan kau sepenuhnya sebab kau kan dah minta maaf. Silap aku juga yang sayang pada kau lebih-lebih. Tapi, kau dulu main jentik-jentik hati aku. Apa kau ingat kata maaf itu boleh hilangkan rasa ni sekelip mata? Beza bila aku sayang kau sebagai sahabat sahaja dengan lebih dari sahabat.”


Empat Tahun – Maina Mohd Tamin 2.8/5 

Bahasa cerpen ni ok. Dan cara penulis gambarkan persekitaran sekolah dan asrama tu pun aku rasa okay. Tapi cumanya bagi aku masalah timeline jalan cerita cerpen ni dan watak yang agak banyak membuatkan penyampaian cerpen ni jadi agak serabut. Bila aku baca cerpen ni dengan timeline yang sekejap melompat ke depan dan ke belakang aku fikir kenapa penulis buat macam ni? Apa yang dia nak tunjukkan sebagai rentetan peristiwa atau sebab akibat dari masa lalu yang mempengaruhi masa depan tu, aku tak nampak benda tu. Satu lagi ialah watak yang banyak walhal watak-watak tempelan ni tak bagi efek pun pada penceritaan. Tapi kalau nak cakap watak yang banyak ni memberi gambaran suasana persekolahan, benda tu memang berkesan. Tapi di sini kita juga kena tengok dari sudut penceritaan. Adakah benda itu membantu? Haa gitu. Pasal benda-benda lain tu ok kot. Cerpen ni mengisahkan pasal percintaan di zaman persekolahan. Dua kekurangan yang aku sebut tadi sebenarnya mungkin disebabkan editing dan rewriting cerita yang kurang kemas. Dua kekurangan tu boleh saja diatasi dengan revise, edit dan rewrite dan penyusunan penceritaan supaya penyampaiannya lebih berkesan. Just as simple as that. Harap penulisnya akan terus menulis lepas ni dan keep up the good werk.


Mine – M. Ismail 2.8/5

Plot cerpen ni mudah dan cerpen ni ada nuansa hipster gitu. Cerita pasal cinta tiga segi. Aku suka gaya penulis bercerita sebab dia tahu apa yang dia nak sampaikan dalam setiap ayat. Dan ceritanya jelas, mudah difahami. Tak semestinya cerita yang baik tu cerita yang kompleks. 


Telinga-Telinga Cinta (Bisikan Hipster) – Nurmala Samin  2.4/5

Tajuk cerpen ni memang pelik sikit tapi kekuatan sebenar cerpen ni aku rasa ialah pada penyampaiannya yang kelakar. Ya gaya tulisan menulis memang agak kelakar dan menjadi dan juga bersahaja. Bila baca ibarat kita sedang mendengar seorang kawan kita yang suka cakap banyak, bercerita pada kita. Tapi tulisan ni banyak lagi boleh dibaiki sebab banyak kesalahan tatabahasa dan ayat tunggang langgang. Typo juga bersepah-sepah. Haa ini sebenarnya dan masuk tugas editor dan pembaca pruf. Harap dapat improve dan penulis pun sama kena take note benda ni. Idea cerita ni memang cliche la versi drama tv1 tapi aku suka gaya penyampaian penulis.


Cinta Hipster #2 – Isha Idiaz 4/5 

Karya ni bermula sebagai metafiksyen di mana penulis memberitahu dia mencari idea untuk menulis cerpen ini kemudian berubah menjadi luahan isi hatinya berkenaan kisah cinta dia dan sahabat lelakinya. Aku kira penulisannya amat menyenangkan dan begitu personal dan mungkin cerpen ni yang paling personal dalam buku ni. Penulis memberitahu lelaki yang dia cintai itu tidak dia fahami segala tindak tanduk lelaki itu dan ini menimbulkan konflik dalam perhubungan mereka. Dalam tempoh pembacaan yang singkat aku telah tertarik dengan tulisan cerpen ini dan aku rasa ini satu nukilan yang tak terlalu overated. Aku harap aku akan dapat baca nukilan lain oleh penulis ini di masa akan datang. Sedikit petikan daripada cerpen ini:

“Namun, suhu di bumi Johor yang selalunya mencecah 32 ℃ juga kadang-kadang boleh turun sehingga 24 ℃. Apalagi perangai Mat yang sudah lima tahun tujuh bulan aku tinggalkan. Aku rasa aku cuma kenal muka Mat tapi bukan hati dia.”


Ceri dan Strawberi – Abrar Che Teh 2.8/5 

Cerpen kali ni bercerita tentang seorang anak yang terpaksa menyamar sebagai kekasih ibunya kerana ibunya sudah tua dan nyanyuk. Itulah yang aku faham daripada pembacaan aku. Mungkin definisi hipster dalam cerpen ni ialah tentang cinta yang kekal abadi walaupun seseorang tu dilanda penyakit nyanyuk tapi cintanya masih malar segar merentasi zaman. Aku agak kurang senang dengan penyampaian cerpen ni kerana bagi aku ayat-ayatnya agak mengelirukan dan tak straight-to-point. Mungkin juga penulis cuba untuk bagi cabaran kepada pembaca supaya pembaca sedikit berteka-teki tetapi aku rasa perkara ni telah mengurangkan potensi cerpen ni untuk lagi menyerlah.


Eksotik – Rozana Fadzil 3.3/5 

Permulaan cerpen agak tidak konsisten sebab penulis menceritakan tentang dua situasi yang berbeza tapi dijalinkan dengan okay la untuk mempertemukan dua watak utama. Watak sampingan yang muncul sebenarnya nampak agak lemah tapi dapat membantu penceritaan secara tak langsung untuk menggambarkan tanggungjawab watak utama seorang perempuan bernama Ramona. Boleh saja penulis menceritakan terus tentang pertemuan dua watak utama dan membincangkan lebih lanjut tentang keraguan Ramona terhadap Ramli, tetapi kedua watak ini diberikan gambaran backstory yang membantu menyerlahkan karakter masing-masing. Cerpen ini mempunyai happy ending yang selamat dan mengena. Secara keseluruhan, cerpen ni dengan gaya sederhana tampil sedikit ‘lain dari yang lain’ dari cerpen lain dalam koleksi ini, dengan membawa perspektif segar dan bercakap tentang keraguan dan membuka diri untuk mengenali seseorang yang secara fizikalnya berbeza dari orang kebanyakan, dan secara tak langsung bercakap tentang maksud hipster.


Diam Diam Kau – Ddeanna 2.7/5

Kekuatan cerpen ni ialah dialog tapi penerangan tentang apa yang berlaku dalam setiap babak agak lemah. Dan kalau Elmore Leonard  baca cerpen ni mungkin dia marah sebab kata dia, “Keep your exclamation points under control. You are allowed no more than two or three per 100,000 words of prose.” Dialog dalam ni seolah watak menjerit setiap kali bercakap dan diakhiri dengan ketawa. Benda ni memang berlaku dalam realiti tapi bila diterjemahkan dalam tulisan dan dibaca, akan rasa sedikit annoying untuk hadam. Satu lagi ialah penulis tak gunakan scene break symbol untuk bahagikan babak. Jadi agak bercelaru. Apa-apa pun ending cerpen ni okay la kelakar dia.


###

Kebanyakan cerpen dalam buku ni mempunyai idea yang sama tentang tema cinta hipster. Herm, agak mengecewakan. Ada 22 cerita yang dimuatkan, dan kalau dikurangkan jumlah tu akan lebih okay rasanya. Apa yang membezakan mereka ialah tulisan mereka dan ada yang okay la, tapi mostly masih banyak perlu dibaiki untuk jadi lebih baik. Jadi, angkat pena itu dan teruslah menulis. 

Beli buku ni di sini.

Sekian adios.

Khamis, 30 Mac 2017

Ulasan Buku: Gagalis


Tidak syak lagi gambar ni ditangkap oleh seorang fotographer yang tak gagal. (guna sony xperia c)


Hikayat Amir Dan Zam – Mikael Sahaja 3.9/5 

Cerpen ni bercerita tentang dua orang sahabat yang loser dalam konteks percintaan. Seorang penakut dan seorang lagi terlebih yakin. Jalan cerita cerpen ni biasa saja, tapi penulis dapat menyampaikannya dengan dos kelakar yang dijamin akan menggeletek perut korang. Jadi, pergi baca cepat-cepat dekat sana.


Sesi Bertemu Raksasa Dalam Diri – Syahmi Fadzil 4.1/5 

Bila baca cerita ni aku asyik teringatkan tentang murakami, filem studio ghibli, ridhwan saidi dan seorang pencerita yang bercerita dengan keadaan yang sangat tenang dan bersahaja seperti di perpustakaan yang sunyi tapi kata-katanya thought provoking. Rasanya cerpen ni boleh kot masuk dalam cerpen terbaik tahunan. Kalau ko nak tahu macam mana sedap dia pergi, ko kena baca sendiri dan ko akan fikir macam mana brader ni tulis dengan bahasa yang ringkas tapi power?


Gagal Untuk Gagal – Injangnation 3/5 

Cerpen ni bagi aku bersifat anti-realiti maksudnya dalam dunia cerpen ni apa yang berlaku berlawanan dengan apa yang ada di realiti. Sebab tu sepanjang bacanya, ada sikit rasa weirdness semacam dan aku cakap, “Oh, what an opposite world.” Dalam cerpen ni, semua orang lebih prefer menjadi gagal dan mereka mengejar untuk gagal bukan untuk jadi berjaya. Premisnya menarik dan tulisannya ok saja dan cerpen ni suatu naskah yang menarik untuk dibaca.


Kecundang Perang – Hazalas Hamidon 4.5/5

Feh mantap beb cerita ni. Apa yang buat aku teruja ialah bahasanya yang berima maksudnya di hujung setiap ayat berbunyi sama macam pantun. Dari segi content mula-mula aku ingat ni cerita gaya klasik biasa yang macam boring ja tapi bila aku dapat detect nama watak yang digunakan baru aku perasan isu yang dibawakan relevan dengan situasi semasa. Penulis menyelindungkan kritikan sosialnya dalam plot cerita dan ianya berhasil. Perkataan yang tepat untuk menggambarkan cerpen ini ialah alegori. Cubalah baca sendiri dan tengok kau boleh teka atau tak cerita ni sebenarnya pasal apa. Cerpen ni aku baca akhir sekali sebab aku tengok cerpen ni macam panjang mula-mula dan bahasanya agak klasik. Mungkin macam boring. Ternyata aku salah.


Janji Temu Jamal- Dimadimana 2.8/5 

Cerpen ni boleh tahan kelakar tapi gaya kelakar tu diulang berkali-kali yang menyebabkannya jadi kurang efektif. Cerpen ni memang bergantung pada penulisan yang kelakar kerana jalan ceritanya biasa saja dan membuatkan aku terkenang akan komik satu muka lawak antarabangsa dalam majalah ujang/apo. Apa-apa pun ianya percubaan yang bagus dan simple.


Mereka Kata Aku Gagalis, Kerana Masih Menulis Bait-Bait Cinta Yang Kau Kalis – Syed Hafeez 2.2/5 

Kemain gempak tajuk yang ni. Tapi penulis ibarat nak bangun dari kerusi dan mengelilingi restoran tapi dia terlalu fokus nak cerita juga apa yang berlaku dekat atas meja. Aku rasa dia patut terbalikkan meja tu dan meja-meja lain juga dan berlari keluar restoran. Lagi satu ialah penggunaan ayat yang berulang. Sebenarnya sesebuah cerpen tu satu bentuk penyampaian yang pendek dan pembaca expect surprise dalam cerita. Pengunaan ayat English yang berulang juga menganggu cerita dan sebagai cadangan, ayat English guna dalam dialog dan bukan explanation. Lastly, ending cerita. Harap penulis dah tak buat ending macam ni lagi di masa depan. Sebenarnya content cerita memang cliche tahap kedai mamak, tapi kalau penulis bagi effort yang lebih, mungkin cerita akan lebih okay.


Adik – Shasharyzal 3.4/5 

Cerpen ni simple dan bahasanya juga mudah. Ideanya bagi aku mungkin bersifat personal. Aku menjangkakan akan ada twist di akhirnya namun nggak semudah itu, kata penulis. Penulis kekal dengan ideanya sehingga akhir cerita dan memberikan cerpen ini originalitinya tersendiri. Dan mungkin juga sebenarnya boleh dikatakan yang watak utamanya juga mempunyai masalah jiwa.


Intan Payung – Hilmi  Loma 3.7/5

Mengisahkan tentang hubungan seorang anak dan ibunya. Jalan cerita cerpen ni ok la tapi gaya penulisannya yang berjaya menyampaikan emosi yang sebenar. Aku dapat detect dua isi tentang kegagalan yang dibawakan penulis. Satu kegagalan seorang anak dalam kerjayanya dan kedua kegagalan seorang ibu membesarkan anaknya. Petik sikit ayat yang padu daripada cerpen ini: 

“Kalau mak sendiri yang redha apa yang Myr buat, apa hak Tuhan nak halang semua ini?”


Impian Orang Gagal – Melizah Akem 4/5

Sedap betul bahasa cerpen ni. Seolah aku sedang mendengar suara lembut seseorang yang sedang bercerita terus kepadaku. Aku juga rasa macam bahasa dalam cerpen ni berbunyi seperti naskah terjemahan, kemungkinan dari bahasa inggeris. Dan juga setiap ayatnya berbunyi puitis, sungguh lembut dan tenang. Ceritanya juga tidak terlalu mengawal pembaca atau terlalu didaktik, tetapi ia mengalir seperti anak sungai di dalam hutan. Cilakak, aku tulis reviu ni pun dah macam nak tulis puisi.


Zainuddin Abu Menghadiri Temuduga – Abdul Fattah 3.3/5

Cerpen ni punya dialog menggunakan loghat Nogori, yang mana aku rasa first time aku baca sebuah cerita yang menggunakan loghat tersebut dalam dialognya. Ini menjadikan cerita ni unik dan ada nilai tambah yang lebih. Ceritanya biasa saja bagi aku dan predictable. Tapi ada satu lawak yang berunsur kekampungan yang menjadi dan buat aku gelak. Seperti tajuknya, cerpen ni tentang seorang budak kampung di Nogori yang ke KL untuk temuduga kerja. Dan adakah dia berjaya temuduga itu atau ada sesuatu yang lain berlaku? Sama-sama kita saksikan.


Seorang Papan – Malyaghazali 2.3/5

Cerpen ni bagi aku meleret-leret dan ayat-ayatnya bernada flat maksudnya ia tidak menimbulkan rasa ingin tahu untuk mengetahui apa yang berlaku selepas itu. Satu lagi ialah point-point cerita dalam cerpen ni tidak membentuk sesuatu dan ianya seoalah-olah berterabur. Kekuatan cerpen ni ialah rincinya  tentang gaya hidup marhaen masa kini. Kemungkinannya, penulis masih keliru dengan idea dan suaranya di dalam cerita. Tetapi percubaannya harus dipuji dan diharap akan ada lagi karyanya di masa akan datang. 


Lelaki Bujang Yang Berbulan Madu Di Budapest – Anas Mohd 4.3/5

Enak betul tulisan brader ni. Mungkin cerita ni diletak akhir dalam buku ni sebab lepas baca aku rasa nyaman dan ibarat satu rasa yang melepaskan. Acewah. Kisah ni tentang kisah seorang brader yang pergi belajar ke luar negeri dan pengalamannya di sana. Aku suka cara tulisannya. Ayat-ayatnya jelas dan rileks. Penulis mengangkut kita ke dalam pengalamannya. Ya cerita ni menyamankan jadi bacalah.


//////////

Secara konklusi, buku ni menyajikan idea-idea tentang kegagalan iaitu dalam konteks cinta, kekeluargaan, kerjaya, perkahwinan, pembelajaran, kehidupan dan kemanusian. Isu-isu ini diterjemahkan ke dalam bentuk cerita yang santai dan seronok dijamah ibarat cikedis.

Dapatkan buku ini di sini.