Khamis, 1 Februari 2018

Ulasan Buku: Antologi Perisa


Ada 16 cerpen yang bertemakan perisa dalam antologi ini.

Antara cerita yang betul-betul kuat dan jelas temanya ialah Koshary, Bak Kut Teh, Sirih, Sotong Bakar dalam Kertas Masa, Americano, Vodka Ribena, Masam dan Seplastik Teh Madras.

Koshary, Bak Kut Teh, Masam dan Americano diceritakan secara straight-forward dengan bahasa yang mudah difahami dan ringkas. 

Koshary menceritakan kisah mahasiswa di Mesir yang ditangkap polis kerana disyaki menyokong parti pembangkang dan penulis melakukan kerja yang baik dengan mengaitkannya dengan makanan tempatan di sana iaitu Koshary. Bak Kut Teh pula benar-benar cerita kontot, sebanyak tiga muka surat, seorang suami mencari sup babi yang halal untuk isteri mengandung yang sedang mengidam. Punchline di hujungnya sangat menjadi dan menggeletek. Cerpen yang bertajuk Masam pula berjaya menangkap mood dan suasana keremajaan pasangan pelajar sekolah yang jatuh cinta dan malu-malu kucing. Americano tentang seorang barista muda yang belajar tentang kejayaan dalam hidup dari seorang pelanggan yang kelihatan smart dan kaya. Ada twist di hujung cerita yang menjadikannya menarik.

Sirih pula mengisahkan tentang cerita di zaman dulu, melibatkan seorang Laksamana yang telah melawan seorang Sultan yang zalim dengan bantuan beberapa yang lain, sebuah kudeta. Kisah ini menggunakan bahasa lama yang saya sendiri tak dapat tangkap maksud beberapa perkataan yang terdengar asing, tetapi ia tetap menarik dan unik.

Sotong Bakar dalam Kertas Masa, kisah kenangan tiga orang rakan sekampung yang berjanji untuk bertemu semula pada suatu masa yang ditetapkan setelah membawa haluan masing-masing, kisah ini berakhir dengan kesedihan. Bahasa cerpen ini puitis, pada mulanya ia terasa sedikit janggal tapi akhirnya ia dapat menetapkan mood yang ingin dibawa.

Vodka Ribena, tentang sebuah keluarga yang hancur akibat ketamakan ketuanya yang sanggup mengorbankan ahli demi kekayaan dan matlamat politik. Seplastik Teh Madras tentang seorang mahasiswa yang membantu kekasihnya membuat onar di sebuah majlis di universiti, sepasang rebel autoriti, sedikit sebanyak menyerupai tema dalam cerpen Sirih tapi dengan latar moden.

Pahit, ABC, Teh, dan Ketum bagi saya berada dalam kategori sederhana, mungkin kerana teknik penyampaian yang kurang mengena atau idea yang agak biasa-biasa dan cliche.

Pahit dan ABC tentang kenangan bersama ahli keluarga yang telah pergi, bernostalgia, dan Teh pula tentang seorang lelaki yang sedang berusaha memajukan perniagaan dalam dunia penuh persaingan. Ketum, tentang ketagihan seorang lelaki kepada minuman itu dan pengalaman pengembaraan psikedeliknya apabila menikmatinya.

Mocha Laici, Gula Kapas, Sampoerna 16, dan Tawar mempunyai ayat-ayat puitis tetapi seperti tercari-cari makna cerita yang mahu disampaikan dan perkaitannya dengan tema perisa. 

Mocha Laici mengaitkan perisanya dengan makna kehidupan secara umum dan mempunyai ending yang agak cheesy. Begitu juga Gula Kapas, sebagai metafora kepada kehidupan dan perpisahan. Cerpen Sampoerna 16 bermula dengan puitis kemudian menjadi perbualan antara dua sahabat. Manakala Tawar lebih bersifat absurd dan mempunyai penamat yang sedikit mengelirukan saya.

Kebanyakan cerpen dalam antologi ini mempunyai ayat yang puitis, walaupun ada cerita yang straightforward, ada yang semacam prosa luahan perasaan yang mengaitkan tentang kehidupan dengan perasa pilihan di dalam cerita mereka, tetapi ada cerita yang menggunakan kepuitisan ayat di dalam cerita mereka dengan baik, bermakna cerita itu menjadi sedikit mencabar untuk dicerna dan maksudnya sedikit terselindung; ini sebenarnya sesuatu yang menarik. Ada juga yang hanya ingin bermain ayat yang puitis tanpa mempunyai maksud yang mendalam dan ini membuatkan cerita mereka menjadi sedikit lemah dan selapis, bermakna ia mungkin hanya kata-kata yang hanya ingin membuai perasaan; cerita begini mungkin sesuai dibaca ketika terlekat dalam traffic jam.

Kesemua cerpen boleh dikatakan ditulis dengan baik cuma mungkin ada idea yang kurang mengena atau teknik penyampaian yang kurang menjadi. 

Cerita yang ingin menjadi prosa puitis, bagi saya agak menarik kerana menambahkan rencah dalam antologi ini. Ia tersisip di antara cerita-cerita yang berstruktur dan kadang-kadang cerita yang berstruktur ini walaupun bagus ia tak dapat menyembunyikan sifat artifisialnya iaitu rekaan dan fiksyen. Manakala yang bersifat puitis ni lebih spontan dan melentokkan, menyamai sifat perasaan yang berlebih-lebihan, mengalir dan terus mengalir dan kadangkala melimpah tanpa mengikut alur; ini lebih organik. 

Jadi mana-mana pun, masing-masing punya kekuatan tersendiri dan bergantung pada mata yang melihat dan minda yang mentafsir, ada yang suka teh o dan ada yang suka teh susu. Saya harap penulis-penulis ini tidak mudah mengalah, dan akan terus menulis cerita yang lebih best dan mengejutkan lagi pada masa akan datang.

Sekian, adios.