Sabtu, 6 Ogos 2016

Ulasan Buku: Cerpen Hari Jumaat Vol. 1

Salam semua! Masih belum terlambat rasanya untuk mengucapkan selamat hari raya maaf zahir batin kepada semua kipas-susah-mati dan kipas-rangka-keras blog ini! Dengan ucapan, kuih raya dekat dalam balang dah habis?

Ok la. Buku kali ni ialah antologi Cerpen Hari Jumaat daripada Buku Fixi. Cerpen-cerpen dalam ni semua telah diterbitkan dalam Wattpad dulu setiap satunya pada setiap pagi Jumaat hence namanya cerpen hari Jumaat. Cerpen-cerpen dalam ni juga ditulis oleh penulis yang pernah menerbitkan novel dengan Fixi menjadikannya koleksi wajib kaki Buku Fixi ataupun juga yang baru nak mengenali mereka.

Sebenarnya aku ada baca juga cerpen-cerpen ni dekat wattpad tu tapi bukan semua lah. Sebabnya aku rasa tak feel bila baca dekat laptop ataupun henfon ni. Kena baca atas buku juga baru boleh feeling-feeling sikit. Lagipun, asyik sakit mata ngan pening kepala kalau baca panjang-panjang dekat skrin ni.

Tu dia.

Mandi Sungai –Ridhwan Saidi 4.3/5 Bintang

Kalau difikirkan balik, masa kecil dulu kita selalu baca buku cerita sekumpulan detektif remaja seramai lima orang yang pergi bercuti naik basikal kemudian terjumpa satu misteri misalnya di gunung atau di pulau tempat mereka bercuti. Cerpen ini mengingatkan aku tentang nostalgia itu. Cerpen ini juga seakan memberi homage kepada cerita detektif remaja itu, kartun animasi Lat The Kampung Boy dan mungkin novel sastera lama yang kebanyakannya berlatarkan desa yang permai tetapi di tangan penulis ini, ianya diceritakan dalam keadaan ‘high’. Cerpen ni juga mungkin akan mengingatkan kita kepada pengalaman semasa muda, dari duduk rumah bosan kemudian suatu hari keluar lepak dengan member-member pergi jalan-jalan dekat mana-mana, buat perangai gila-gila dan advencer tu berlaku dengan sangat pantas dan semuanya seakan berlaku di bawah satu nafas, macam cerpen ni.


Kejam – Anuar Shah 3.8/5 Bintang

Cerpen ni dipenuhi unsur aksi yang intense kena dengan tajuknya dan membawa satu statement yang padu. Menceritakan tentang ‘aku’, kaki panas baran yang suka membelasah orang hanya kerana perkara yang remeh. ‘Aku’ seringkali membelasah orang dengan kejam, dengan sasaran utamanya ialah muka mangsa dan dia tidak memilih mangsanya atau menghiraukan siapa mereka. ‘Aku’ juga seringkali terlepas dengan tindakanya yang kejam itu dan ini digambarkan dengan ayat berikut.

   “Aku tahu aku telah diambil gambar dengan telefon pintar dan mungkin ada yang mengambil video aku membelasah brader sado itu. Benar sangkaan aku apabila beberapa jam selepas itu satu video ‘Brader Sado Kena Belasah Dalam Starbucks’ menjadi viral. Aku tak ambil pot dengan video atau gambar-gambar yang tersebar itu kerana semua itu aku akan selesaikan kemudian. Sehingga kini aku tidak pernah disiasat oleh polis kerana kejadian itu. Terima kasih kepada Ibu aku yang memain peranan.”


Nasi Lemak Sambal Sotong – Syaihan Syafiq 3.5/5 Bintang

Cerpen ni tipikal cerpen yang kita boleh jumpa dalam majalah hiburan wanita rasanya. Apa yang aku suka dalam ni ialah pembinaan suspens dalam cerita ni menjadi. Kita tertanya-tanya siapa perempuan yang pakai rayban yang selalu datang beli nasi lemak dekat gerai watak utama cerpen ni? Walaupun dalam tempoh yang singkat pembinaan suspens tu berkesan. Cerpen ni kalau dipanjangkan lagi ok kot. Tapi mungkin penulis nak selamat supaya cerita tak melalut pada pendapat aku. Anyway cerpen ni ok and has a good premise.


Empat Dara - Shaz Johar  3/5 Bintang

Cerpen ni ringkas dan diceritakan dengan bersahaja. Aku cuba meneka ending cerpen ni ketika membacanya, namun tekaan aku tidak mengena. Nampaknya Shaz Johar letak twist yang lebih ke depan daripada tekaan aku. Apa-apa pun satu cerpen yang menarik dan aku enjoy menghabiskannya.


Ringgit Ke Neraka –Lokman Hakim 3.2/5 Bintang

Berbanding cerpen satu lagi daripada penulis yang sama dalam buku ini, cerpen ni boleh dikatakan imaginasinya sedikit bertenang dan jalan ceritanya make sense. Cerpen ini dianyam dengan metafora tentang dunia yang gilakan wang dan juga manusia yang gilakan wang sehingga mengabaikan nilai-nilai kehidupan sebenar yang lebih penting. Ianya bacaan yang mudah, santai dan mesejnya sampai. Tiada guna dalam hidup hanya mengejar kekayaan tetapi seringkali terlepas nikmat yang di depan mata.


Undur – Syahmi Hafizuddin 3/5 Bintang

Cerpen ni membawa tema sedih, cinta dan usaha seorang budak lelaki untuk move on daripada kisah lalu. Cerpen ni ditulis dengan baik dan sedap dibaca. *spoiler alert* Part naik motor untuk undur ke masa lalu tu memang kelakar bagi aku. Tapi jangan risau, sebab lepas tu ada plot twist yang tak terlalu mencuba tapi menjadi la. Bagi aku tajuk cerpen ni sepatutnya letak, ‘Ema’ baru sedap sikit dan lebih mengena dan menangkap.


Meredith –Neesa Jamal 4.3/5 Bintang

Cerpen ni sangat baik tulisannya dan mudah difahami. Cara cerpen ni disampaikan menunjukkan kematangan atau pengalaman penulis menguasai penulisan cerpen. Cerpen ni menyampaikan cerita tentang kesunyian, kesedihan, kasih sayang dan perhubungan sesama manusia. Nak cerita lebih-lebih pun aku malas sebab cerpen sedap macam ni korang kena baca sendiri, baru feel. Part yang paling penting dalam cerpen ni ialah epilognya sebab jarang aku jumpa cerpen yang letak epilog seketul kat belakang yang semacam luahan hati atau menceritakan secara terus maksud sebenar yang cuba disampaikan cerpen ni.


Tali – Syafiq Aizat 4.3/5 Bintang

Aku suka gaya tulisan dalam cerpen ni bersahaja dan jelas. Dan cerpen ni ditulis dalam bentuk fragmen ataupun pecahan-pecahan yang berkait. Penulis berjaya menyampaikan emotional punch yang berkesan dalam waktu yang singkat. Aku syak cerpen ni akan dipilih masuk dalam Cerpen Terbaik 2016 nanti. Mesej yang nak disampaikan dalam cerpen ini jelas dan itu adalah kekuatan untuk cerpen ini.


Roti Dari Syurga – Hanani Natasya 2/5 Bintang

Cerpen ni simple gila dan very straightforward. Ayat-ayat yang digunakan dalam ni aku rasa masih kurang masak dan boleh diimprove atau dipolishkan lagi. Apa-apa pun cerita ni ada idea dan bacaan untuk cerpen ni mudah dihabiskan. Aku rasa cerpen ni very kids friendly la sebab ceritanya mudah difahami. Harap lepas ni penulis boleh tulis sesuatu yang lebih padu. Ok sebenarnya cerpen ni mudah sangat aku rasa dan tak ada konflik sangat. Mendatar. Idea tu dah ada. Mungkin cara penyampaian boleh lebih padu.


Empat Jumaat – Regina Ibrahim 3.8/5 Bintang

Cerita ni sedap tapi aku tak dapat sangat ending dia. Adakah Rozie akhirnya pulang semula ke pangkuan keluarga asal dia? Yang ni aku tak jelas. Ataupun Rozie hanya bermimpi sepanjang cerita ni memandangkan dia tidur sebab sakit? Apa-apa pun cerita ni ok dan sedap.


Stew Daging – Fahmi Mustaffa 3/5 Bintang

Ending cerpen ni agak rushing. Yang lain-lain ok. Cerpen yang enjoi. Aku suka macam mana dialog memasak diselang-seli dengan backstory.


Syarikat –Ariff Adly 4/5 Bintang

Lepas habis baca cerpen ni, aku rasakan satu sensasi pelik dalam diri. Pelik kerana aku rasa idea cerita ni memang  pelik dan aku rasa aku dapat menghadam imaginasi penulis. Ok sebenarnya teknik penyampaian masa intro cerpen ni amat baik iaitu secara part by part ataupun babak demi babak yang tak bersambung sangat. Cerita jadi mudah difahami. Teknik ni digunakan sampai habis, tapi kita dapat lihat ketara semasa permulaan sebab masuk tengah dan hujung cerpen banyak benda perlu dirungkaikan menyebabkan babak-babak tu jadi panjang dan ini membawa kepada teknik atau ciri kedua dalam cerpen ni iaitu perincian.

Dalam cerpen ni perincian tu terlalu mendalam menjadikan cerpen ni yang paling panjang(aku rasa tapi aku tak kira pun) dalam antologi ni. Aku syak ini mungkin gaya penulis ataupun penulis tak boleh move on daripada gaya penulisan novel dan benda ini telah diserap ke dalam cerpen ini. Aku rasa banyak ja ayat yang boleh potong atau scene yang tak perlu pun yang boleh menjadikan cerpen ni padu. Dan juga backstory apa semua memang panjang masa awal cerita.

Ok seterusnya pula ialah hasil daripada perincian yang mendalam ni sebenarnya membawa efek positif juga iaitu imaginasi penulis tu dapat disampaikan dengan padu dan berkesan. Setiap yang berlaku tu kita dapat bayangkan dengan jelas la kiranya. Tapi juga aku nak tekankan di sini ialah ini ialah cerpen dan mungkin imaginasi tu bagus tapi untuk cerpen, bagi aku, ia perlu disampaikan dengan mudah, bukan dengan lebih panjang. Memetik kat-kata Kurt Vonnegut,

   ‘Give your readers as much information as possible. To hell with suspense. Readers should have such complete understanding of what is going on, where and why, that they could finish the story themselves, should cockroaches eat the last few pages.’

Ok apa-apa pun cerpen ni dibuka dan ditutup dengan baik namun aku sebenarnya tak kisah pun kalau cerpen ni tidak ditutup dengan baik @ dibiarkan tergantung sebab aku dah suka dengan idea/imaginasi yang dibawakan tapi syukur penulis masih rajin nak kasi ending cantik dan sesuai dengan tajuknya. Apa-pun lagi cerpen ini memberikan rasa yang weird lepas membacanya dan ini merupakan cerpen terakhir aku pilih untuk baca dalam antologi ni disebabkan oleh kepanjangannya.


Pilihan – Saat Omar 4.3/5 Bintang

Cerpen ni ada prinsip dan ada soul. Ia membuatkan aku berfikir. Ianya tentang pilihan. Adakah pilihan yang kita buat dalam hidup selalu betul dan macam mana pilihan tu turut mempengaruhi orang di sekeliling kita. Adakah pilihan yang kita pilih tu lebih baik daripada yang kita tak pilih? Cerpen ini membuatkan kita berfikir balik tentang pilihan yang kita buat dalam hidup kita. Aku syak cerpen ni pun boleh/akan terpilih untuk Cerpen Terbaik 2016. Dan yang tu bergantung pada pilihan editor yang telah dilantik.

P/s: cerpen ni sesuai dijadikan filpen


Debu – Faizal Sulaiman 2.3/5 Bintang

Aku rasa cerpen ni agak boring tapi ditulis dengan baik. Penulis cuba mengaitkan dua subjek yang berbeza iaitu debu dan perhubungan manusia, dan aku rasa ianya tak menjadi. Cerpen ni aku rasa seperti cerpen-cerpen yang dapat kita baca di akhbar arus perdana.


Aku, Komuter & Kereta Sapu – Aiman Hazziq 3.5/5 Bintang

Cerpen ni penulisannya bagus tapi ceritanya predictable. Susunan jalan ceritanya juga membantu penceritaan. Kalau diceritakan dengan lebih detail bahagian ‘ritual’ tu mungkin cerita akan jadi lebih sedap. Ni sebuah cerita tentang sekumpulan remaja yang melakukan ritual memanggil hantu dan apa yang terjadi kepada watak utamanya selepas itu.


CIKDAM (Cinta Itu Ketawa dan Air Mata) – Hasrul Rizwan 3.2/5 Bintang

Kalau anda sudah banyak kali membaca tulisan karya HR mungkin akan perasan bagaimana kekuatan tulisan HR adalah bagaimana cara penulis menggambarkan atau elaborate tentang sesuatu scene, watak atau backstory. Cerpen ini dimulakan dengan gambaran secara details apa yang sedang dibuat watak. Ianya bagus tapi lama kelamaan bagi aku ianya menjadi boring. Cerpen ni adalah berdasarkan kes culik yang pernah viral dahulu di Malaysia dengan twist penulis sendiri sebagai ending. Bagi aku ending cerpen ni terburu-buru dan mungkin penulis boleh buat lebih baik lagi dengan suntikan idea yang lebih segar dan original.


Resipi Kehidupan – Ikmal Ahmad 4/5 Bintang

Cerpen ni walaupun tak mempunyai depth yang dalam, tapi aku rasa cerpen ni jujur dan disampaikan dengan baik. Aku rasa enjoi baca cerpen ni dan pembacaan smooth. Cara dialog watak utamanya ditulis aku rasa kelakar sebab dia cakap macam orang skema. Aku dapat apa yang cerpen ni cuba beritahu kita iaitu kita kena buat benda yang kita suka baru boleh gembira. Aku tak tahu la sama ada ni berdasarkan pengalaman sebenar penulis atau sapa-sapa tapi cerita ni jujur dan sedap.


Menanti – Regina Ibrahim 4.5/5 Bintang

Cerpen ni 5 muka surat saja tapi dari awal cerita lagi kita dah boleh rasa vibes yang dibawakan iaitu pasrah. Cerita ni tak sedih bagi aku tapi disampaikan dalam bentuk keluhan dan ianya berkesan dan dapat dirasakan genuine atau asli. Sampai di tengah cerita aku rasa emosi betul bila baca sebab emosi yang dibawa dalam ayat-ayat cerpen ni sampai menusuk betul. Izinkan aku petik part yang aku suka dalam cerpen ni yang berbunyi,

   “Kasar sungguh hidup ini, betullah kata ayah kau dulu-dulu, manusia kadang-kadang pelik. Ada waktu mereka baik macam malaikat, kalau tidak kena hari bulan, mereka boleh jerkah kita balik.”

Cerpen ni membuktikan bahawa cerpen dapat menyampaikan emosi yang padu dalam masa yang singkat dengan penceritaan yang menggunakan ayat-ayat yang straight to the point tanpa berkias-kias dan juga dalam masa yang sama mempunyai twist yang menarik dan mengena.


Jumaat – Saat Omar 3.9/5 Bintang

Cerpen ni sebenarnya aku rasa adalah cerpen yang paling menepati tema antologi hari Jumaat ni daripada seluruh cerpen yang ada dalam antologi hari jumaat volume 1 ni dan juga secara kebetulannya(?) menepati gaya rumah penerbitan Buku Fixi. Ok kenapa aku kata ianya menepati gaya rumah penerbitan Buku Fixi ialah kerana cerita ni bermula dengan menceritakan kehidupan seorang lelaki yang normal, kemudian dilanda penyakit lupa ingatan (tipikal?) di mana dia ingat setiap hari ialah hari Jumaat dan kemudiannya ada twist moden dan diakhiri dengan ending cliffhanger(?) iaitu the best kind of ending(hahaha). Memang tiada novel Fixi yang spesifik yang pakai plot gini tapi boleh dikatakan formula begini yang kita nampak menepati ciri-ciri sebuah nukilan naratif pulp yang selesa. Dan berbalik kepada tema antologi ni pula iaitu hari Jumaat, apa sangat kita sebagai Malaysian ingat pasal hari Jumaat kan? Hari Jumaat bagi aku ialah hari yang paling tenang dan untuk berlibur sendirian dengan famili tetapi ni juga bergantung di negeri mana kita duduk dalam Malaysia. Cerpen ni tidak syak lagi ‘cerpen yang paling hari Jumaat’ dalam antologi volume 1 ni.


Raksasa Itu Dimakan Manusia – Lokman Hakim 2.8/5 Bintang

Cerita ini ada imaginasi yang bagus, kuat dan wild. Maksudnya penulis ada imaginasi dan dapat menyampaikan benda tu melalui cerita ni. Akan tetapi aku rasa imaginasi tu terlalu keterlaluan atau heavy dan mempengaruhi cerpen ni dari mula sampai habis. Sepertinya cerita ni sebenarnya tak ada matlamat ataupun statement cerpen ni lemah kerana cerita ni terlalu menurut sangat dengan imaginasi itu. Sepatutnya bagi aku imaginasi itu sebenarnya jalan cerita yang menuju ke maksud/statement/mesej cerita  kerana di setiap pengakhiran cerita nilah letaknya benda ni (maksud/statement/mesej cerita). Melainkan cerita ni memang dimaksudkan untuk jadi sebuah eksperimental tapi aku lebih nampak ianya bukan, dan ianya ada metafora yang cuba disampaikan tetapi ianya kabur dengan imaginasi yang keterlaluan dalam cerita ni. Mungkin kalau penulis ambil lebih banyak masa untuk edit dan rewrite cerpen ni akan lebih berkesan.


River Kwai –Shaz Johar 3.8/5 Bintang

Cerpen ni agak mengelirukan sikit tapi dalam masa yang sama aku sedar ini berlaku kerana ianya ditulis sebegitu supaya ianya jadi challenging sikit daripada biasa. Aku suka premis cerita ni. Ianya baik. Aku start keliru dari mula cerita, tapi masuk tengah sikit dah ok. *spoiler alert!!!* Apa yang aku faham ialah watak utamanya mungkin seorang perempuan(?) dan bekerja menjaga Mak Lia di Bangkok. Kemudian Mak Lia nak ke River Kwai tu (tapi taknak bagitahu suaminya) sebab nak pulangkan cincin pada kekasihnya yang ke River Kwai tu sejak zaman Jepun. Tapi watak utama inform jugak ke suaminya dan suaminya marah lalu bawa mereka balik ke Malaysia. Kemudian Mak Lia bunuh diri di Malaysia. Kemudian dalam cerpen ni, dari mula  lagi diceritakan perjalanan watak utama dan kerusi roda kosong ke River Kwai untuk membuang cincin tu ke dalam sungai.


Tivi Misteri –Hani Suraya 3.6/5 Bintang

Suatu cerpen yang ringkas, bacaan santai tetapi ditulis dengan idea yang clever. Aku suka bagaimana penulis describe apa yang berlaku dan cara cerita ni disampaikan. Gaya penyampaiannya nampak matang walaupun ceritanya mudah. Satu bacaan yang enjoi.


Awek Tudung Kereta Biru –Anuar Shah 4.2/5 Bintang

Cerpen ni fun, menghiburkan dan ada suspen sikit. Ideanya simple tapi still dapat menghiburkan dan ada ending yang ok. Cerpen ni ditulis dengan pemerhatian yang teliti (mungkin daripada pengalaman sebenar) dan ada pandangan penulis menjadikannya cerpen yang serba lengkap. Sebuah bacaan yang enjoi bagi aku.


Petang Tanpa Pedoman – Mim Jamil 3.1/5 Bintang

Seperti tajuknya, cerita ni memang tak membawa pedoman. Cerpen mengisahkan seorang mamat yang bercakap pasal perasaannya dan strateginya semasa ke bazaar Ramadhan. Sebagai seorang yang kaki bazram juga, aku memahami taktiknya dan analisisnya itu aku kira sebagai logik mudah untuk seorang jejaka Malaysia. Cerita ni hampir tak membawa apa-apa idea namun cara tulisannya tak teruk. Ceritanya pendek saja dan penulis tak membawa apa-apa idea untuk disampaikan (sebenarnya idea tu ada tapi mungkin aku anggap idea yang dibawa tidak begitu mustahak). Mungkin cerita ni ditulis ketika lapar dan untuk mengelakkan membuat terlalu banyak kesilapan atau cerita jadi mengarut penulis mematikan cerita begitu sahaja.


Cinta Di Medan Perang –Adib Zaini 4.3/5 Bintang

Cerpen ni lancar sahaja jalan ceritanya. Cerita pasal di medan perang dan banyak aksi tembak-menembak dan lasak. Suatu bacaan yang feel good. Daripada mula sampai habis cerpen ni menggambarakn secara serius apa yang berlaku di medan perang tu namun ianya disampaikan dengan menarik dan tak boring. Penulis berjaya membawa kita ke dalam jerat yang dia dah sediakan dari awal lagi.


Syarat –Faizal Sulaiman 3.6/5 Bintang

Cerpen ni mempunyai premis tipikal filem seram di Malaysian namun berjaya disampaikan dengan baik. Sepangjang pembacaan aku berharap endingnya ada plot twist yang kelakar namun ianya tidak begitu. Cerita ni best sebab feel seram dia sampai.


###


Fuh, panjang jugak review ni. Ok sebagai penutup, macam biasa, disebabkan banyak sangat cerpen dalam ni, kali ni aku pilih 5 yang terbaik dan 5 yang kurang terbaik. Pilihan ni sebenarnya tak ikut pun rating yang aku bagi untuk setiap cerpen. Just pilihan personal yang aku suka dan kurang suka dalam buku ni.

5 Cerpen Terbaik

1. Menanti
2. Pilihan
3. Kejam
4. Meredith
5. Syarat

5 Cerpen Kurang Terbaik

1. Roti Dari Syurga
2. Debu
3. Petang Tanpa Pedoman
4. Raksasa Itu Dimakan Manusia
5. Stew Daging


Sebagai konklusi, buku ni berbaloi untuk dicuba kalau anda seorang peminat cerpen sebab buku ni mempamerkan cerpen moden dan urban daripada yang bagus kepada yang kurang bagus. Sebagai sebuah antologi, Cerpen Hari Jumaat menyerlahkan bahawa ada yang kisah yang dapat disampaikan dengan bagus dan memberi makna dalam masa yang singkat. Buku ini hampir berjaya membuktikan apa yang sebuah antologi cerpen yang baik perlukan.

Harap lepas ini kita dapat lihat pula cerpen Bahasa Melayu daripada nama-nama seperti Rozlan Mohd Noor, Inawza Yusof, Saifullizan Tahir, Raja Faisal, Hadi M. Nor, Tunku Halim dan beberapa lagi yang lain untuk volume-volume yang akan datang.

Untuk membeli buku ini klik pautan di bawah:

Akhir kata, kepada yang menulis teruskan menulis cerita yang lebih bagus dan kepada yang membaca teruskan membaca dengan lebih banyak.

Adios, gais!