Isnin, 19 Jun 2017

Ulasan Buku: Tinju dan Peluru


Saya membaca cerita Si Pengedar Muda dan Pugilis di internet sebelum dapat memegang buku ni.

Saya sebenarnya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi ketika mula menyelaknya.

Separuh pertama cerita dalam naskah ini boleh dikatakan sederhana baik, dari segi bahasanya lembut dan watak-wataknya yang seakan-akan nyata. Cerita-cerita ini membawa kita melawati negeri-negeri tempatan dan juga di sekitar asia tenggara dan gambaran tempat-tempat ini minimalis tetapi meyakinkan. Penulis tidak hanya bercerita tentang tempat tetapi tentang watak-watak yang dijumpai yang mempunyai identiti mereka tersendiri dan sudah tentunya bermacam ragam. Cerita yang bertajuk Vitamin Sea antara yang saya ingati selepas membaca padahal saya rasa gambarannya hanya minimalis tetapi impak penceritaannya membuat saya terkenang-kenang dan seakan terpanggil untuk merasai sendiri dan menikmati suasana pantai Parangtritis di Jogjakarta.

Seterusnya dua cerita yang bertajuk Atm dan Sultan & Wang saya kira cubaan penulis untuk menulis cerita yang lebih inventive daripada cerita-cerita yang sebelumnya. Saya kurang memahami Sultan & Wang tetapi di dalam cerita Atm seorang lelaki telah ditarik oleh sepasang tangan yang keluar dari mesin atm (maaf ya spoiler). Kedua cerita ini kontot sahaja dan penulis cuba bercakap tentang hakikat dalam sebuah kehidupan moden yang membelit manusia.

Cerita kegemaran saya dalam koleksi ini bertajuk Kesumat. Cerita ini merupakan satu tumbukan padu dalam koleksi ini kerana plotnya yang kuat dan menjadi. Daripada cerita-cerita sebelum ini kita dapat lihat penulis menumpukan kepada latar, watak dan dalam Kesumat pula ianya satu plot yang memuaskan dan sangat kena dengan tona ceritanya. Kesumat tidak lain dan tidak bukan tentang seorang anak yang membalas dendam atas kematian bapanya.

Adirimau sebuah cerita tentang vigilante dengan suasana Malaysia dan juga turut bercakap tentang hal gelandangan kota. Saya tak tahu kenapa tapi masih ada yang tidak cukup dengan cerita ini. Akan tetapi dalam hal sebuah cerita yang cuba menjadi diri sendiri, Adirimau telah berjaya. Ia mungkin diri saya yang kerap teringatkan atau cuba-cuba membandingkannya dengan cerita superhero yang lain, yang di kaca tv atau di layar lebar. 

Baiklah sebenarnya saya nampak kedua cerita ini, Kesumat dan Adirimau seakan ada potensi untuk diangkat ke kaca tv atau menjadi siri mini di laman penstriman berbayar. Ini kerana kedua cerita ini ada latar kota yang moden, ceritanya bertona gelap dan bertema jenayah, ada drama, mempunyai watak yang mempunyai konflik diri dan mempunyai aksi yang baik. Tidak dapat tidak saya teringatkan siri tv Daredevil (dan juga kebetulan di dalamnya juga ada The Punisher).

Seterusnya keempat cerita terakhir, kuat memancarkan tentang temujanji, cinta dan perhubungan. Terlena Di Rumah Kaca saya kira sebuah percubaan untuk cerita misteri. Cerita terakhir dalam koleksi ini agak lain daripada yang lain kerana pov penceritaan yang melompat-lompat tetapi ceritanya masih dapat difahami.

Yang saya dapat simpulkan dari koleksi ini ialah bahasa penulis yang lembut dan penyampaiannya tenang dan tak terburu-buru, senang sekali apabila dibacanya. Sebenarnya kebanyakan bahan bacaan saya ialah buku-buku indie dan apabila membaca buku ini saya agak terkejut dengan bahasanya yang lembut, puitis dan indah dalam masa yang sama.  Saya kira kebanyakan watak dalam cerita penulis digambarkan dengan sederhana dan inilah kekuatannya.

Satu lagi perkara yang mengganggu saya ialah tajuk buku ini. Tajuk buku ini menggambarkan isu-isu yang dibawa dalam buku ini, terutamanya ia diceritakan dari kaca mata seorang lelaki. Akan tetapi tajuk buku ini tidak menggambarkan kelembutan dan kepuitisan bahasa dalam buku ini dan saya kira itu adalah sesuatu yang merugikan. Pembaca dan masyarakat umumnya perlu tahu yang bahasa yang baik belum mati dalam penulisan tempatan dan ia juga tidak menyampaikan cerita-cerita yang mengantuk apabila dibaca.